Jangan cuba-cuba berani nak jual peranti penstriman haram

A
A
A

No Image Caption



Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang diwartakan pada 10 Februari lalu telah memberi perubahan penting terhadap isu hak cipta di negara ini.

Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM200,000, hukuman penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali, selain pengarah syarikat perlu bertanggungjawab secara peribadi jika syarikatnya terlibat dalam aktiviti terlarang ini.

Perubahan ini juga telah meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang meminda undang-undang hak cipta seiring dengan kemajuan teknologi.

Impak utama yang dapat dilihat daripada pindaan akta berkenaan melibatkan jenayah penjualan peranti penstriman haram (ISD) dan aplikasi perisian berkaitan yang membenarkan akses tanpa kebenaran kepada kandungan hak cipta.

Sebagai rekod, pindaan Akta Hak Cipta dilakukan selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Harta Intelek tahun lalu mengenai penjualan, tawaran untuk penjualan, pengedaran dan pembekalan ISD yang memberikan akses tanpa kebenaran kepada hasil karya hak cipta, merupakan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Sebagai makluman, cetak rompak digital merupakan tindakan memuat turun, mengguna, menstrim atau mengedarkan bahan hak cipta dan harta intelek tanpa kebenaran atau bayaran bagi kandungan tersebut.

Bendung budaya cetak rompak digital

ABDUL HARIS LAKAR
ABDUL HARIS LAKAR



Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar mengakui aktiviti cetak rompak digital semakin berleluasa di negara ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang hak cipta khususnya dalam bidang digital dilihat mampu membendung salah guna tersebut di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna untuk memilih medium yang sesuai bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.

"MyIPO akan terus mempromosikan kepentingan memohon notifikasi hak cipta sukarela dalam kalangan pemilik hak cipta bagi melindungi karya mereka di bawah Akta Hak Cipta 1987.

"MyIPO juga menggesa pemilik harta intelek (IP) mendaftarkan paten, tanda dagangan, reka bentuk perindustrian dan petunjuk geografi mereka bagi melindungi sepenuhnya IP selain mendapat manfaat daripada hak eksklusif yang disediakan di bawah Perundangan Harta Intelek," katanya.

Salurkan maklumat kepada KPDNHEP

AZMAN ADAM
AZMAN ADAM



Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam memaklumkan, Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 bertujuan untuk melindungi pemilik hak cipta termasuk individu dan perniagaan.

Pindaan baharu ini katanya telah meningkatkan kuasa penyiasatan bagi pegawai penguatkuasa untuk menjalankan siasatan yang berkesan.

"Laporan terkini mengenai cetak rompak menunjukkan pelanggaran hak cipta masih menjadi isu yang mendesak.

"Kami akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pemantauan berterusan untuk mengurangkan pelanggaran dalam karya yang dilindungi hak cipta.

“Dalam masa sama, kami menggesa perniagaan termasuk peruncit serta pertubuhan lain agar menyemak tawaran mereka dan menjalankan perniagaan secara beretika," katanya.

Tindakan memuat turun, mengguna, menstrim atau mengedarkan bahan hak cipta dan harta intelek tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Tindakan memuat turun, mengguna, menstrim atau mengedarkan bahan hak cipta dan harta intelek tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai salah laku dalam perkara ini boleh menyalurkan aduan ke laman rasmi KPDNHEP iaitu talian 1-800-886-800; 03-8882 6088/6245; WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau melalui aplikasi ezAdu.

Menurut Kherk Ying Chew, seorang peguam bela dan peguam cara terlatih dalam bidang undang-undang harta intelek selama lebih 30 tahun, Pindaan Akta Hak Cipta sepatutnya telah lama dilakukan.

Beliau berkata, pindaan baharu itu merupakan satu kelebihan bagi pemilik hak cipta, yang sebelum ini hanya boleh memfailkan saman sivil terhadap penjual ISD di bawah Akta Hak Cipta Malaysia 1987.

“Dengan peruntukan baharu itu, penjualan, tawaran untuk penjualan, pengedaran dan pembekalan ISD yang memberi akses tanpa kebenaran kepada hasil karya hak cipta kini merupakan satu kesalahan jenayah.

“Impak Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 adalah meluas kerana tindakan mengedar dan berkongsi aplikasi, laman web dan pautan oleh individu melalui apa juga aplikasi atau platform media sosial yang membenarkan akses kepada kandungan cetak rompak tidak lagi tidak berbahaya, kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah,” katanya.

Finas akan bantu salur maklumat

PROFESOR DR MD NASIR IBRAHIM
PROFESOR DR MD NASIR IBRAHIM



Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, Finas akan memberi kerjasama konsisten kepada pihak berkuasa untuk menghapuskan budaya yang merencatkan industri filem tempatan.

Katanya, Finas akan menyalurkan maklumat mengenai pautan haram bagi filem yang dikongsi di platform media sosial kepada pihak berkuasa bagi mempercepatkan siasatan dilakukan.

"Walaupun hanya KPDNHEP, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa menentang cetak rompak digital, Finas sentiasa memandang serius isu ini dan akan beri kerjasama untuk menghapuskan budaya bahaya ini.

"Akta 244 Seksyen 24 (1) menekankan kawalan filem merupakan tanggungjawab individu berlesen di bawah Finas dan sekiranya terdapat pelanggaran syarat ini, orang itu akan dikenakan penalti di bawah Seksyen 25 (1) atau Akta 244 atau dikompaun di bawah Seksyen 26K(1) akta sama," tegasnya.

Industri filem tanggung kerugian

ZAHRIN ARIS
ZAHRIN ARIS



Setiausaha Kehormat, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris berpandangan, pindaan terhadap Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 tepat pada masanya untuk mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang hak cipta.

Jelas beliau, penghasilan sebuah karya melibatkan pelbagai profesion seperti penulis skrip, penulis lagu, pemuzik, artis, vendor dan semua orang yang membolehkan industri berfungsi dengan baik.

"Banyak kerja keras di sebalik pembikinan filem yang tidak dilihat oleh pengguna dan sekiranya karya tempatan tidak dilindungi, ia akan mengganggu keseluruhan ekosistem,” katanya.

Cetak rompak digital telah menyebabkan kerugian hampir jutaan ringgit, bukan sahaja terhadap hasil tetapi penciptaan pekerjaan di seluruh Malaysia selain jumlah cukai yang dibayar oleh penyiar yang sah.

Masyarakat perlu mengamalkan pemikiran moral yang sewajarnya dan menolak budaya cetak rompak dengan membantu perniagaan industri kreatif tempatan untuk berkembang maju.

Sebelum tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat-syarikat dan individu yang terus mengaut keuntungan daripada cetak rompak digital sejak sekian lama, lebih baik mereka beralih kepada platform yang dibenarkan untuk mengakses karya berhak cipta.

Pihak berkuasa telah melakukan bahagian mereka, tiba masanya kita sendiri lakukan tugas!