Kes 'scam' di Perlis meningkat 80 peratus

Kes jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Perlis dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat 80 peratus.
Kes jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Perlis dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat 80 peratus.
A
A
A

KANGAR - Kes jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Perlis dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat sehingga 80 peratus, kata Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad.

Beliau berkata, statistik menunjukkan bagi tempoh itu kerugian sebanyak RM1.1 juta, yang menghampiri jumlah kerugian RM1.8 juta pada keseluruhan tahun lepas dengan kes penipuan paling banyak dilaporkan melibatkan penipuan e-dagang.

"Peningkatan kes penipuan dalam talian ini amat ketara sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja laporan polis dibuat.

"Antara kes yang kerap berlaku penipuan tawaran pekerjaan, ‘Love Scam’ dan sebagainya,” katanya selepas pelancaran Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 peringkat Kontinjen Perlis di sini, pada Jumaat.

Surina berkata, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 150 tangkapan telah dibuat dan 46 peratus kes telah dituduh di mahkamah, dengan terdapat 41 kes penipuan itu melibatkan 19 orang pelajar lelaki dan 22 orang pelajar perempuan.

Bagaimanapun beliau berkata, kes melibatkan penggunaan akaun keldai menunjukkan pengurangan, kerana semakin banyak pertuduhan telah dibuat ke atas pemilik akaun.

Surina turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dengan membuat semakan. - Bernama