41 pendatang asing ditahan di perairan Kuala Sepang

Maritim Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan 41 pendatang asing tanpa izin termasuk seorang tekong di perairan Kuala Sepang, Selangor pada Jumaat. (Gambar hiasan)
Maritim Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan 41 pendatang asing tanpa izin termasuk seorang tekong di perairan Kuala Sepang, Selangor pada Jumaat. (Gambar hiasan)
A
A
A

SEREMBAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan 41 pendatang asing tanpa izin termasuk seorang tekong di perairan Kuala Sepang, Selangor pada awal pagi Jumaat.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua mereka terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia serta 37 warga Bangladesh ditahan pada jam 1 pagi kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim mengesan pergerakan satu kontak mencurigakan sedang memasuki perairan negara kira-kira 11 malam Khamis.

"Berikutan itu, bot Maritim Melaka dan Negeri Sembilan yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut bergegas ke lokasi dan menemukan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 1.2 batu nautika barat daya Kuala Sepang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, bot menggunakan dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 itu kemudian ditahan dan didapati 41 lelaki termasuk tekong berada dalam bot berkenaan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 18 dan 46 tahun itu, akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. - Bernama