Sila log masuk terlebih dahulu.

Bot karam: SAR sukar tiada liputan komunikasi

Syobirin ketika ditemui di lokasi kejadian dekat Tasik Gubir semasa menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.
Syobirin ketika ditemui di lokasi kejadian dekat Tasik Gubir semasa menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.
A
A
A

SIK - Tiada liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) antara cabaran dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Tasik Gubir.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir berkata, kegagalan mendapatkan liputan komunikasi antara yang dihadapi anggota SAR yang memasuki hari kedua operasi itu.

"Antara cabaran yang dihadapi, liputan GIRN tiada perhubungan komunikasi bagaimanapun pihak Sapura ada datang dan kita boleh menggunakan 'point to point' bagi membantu penyaluran maklumat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Selain itu, katanya, anggota juga berdepan kesukaran kerana berdasarkan maklumat diperoleh dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kedalaman air di tebing tasik mencecah lapan meter.

"Kawasan tasik ini juga banyak cerucuk dan atas beberapa faktor ini, keselamatan anggota semasa operasi pencarian juga diberi perhatian," katanya.

Jelasnya, JBPM turut menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu pencarian.

Katanya, dalam kejadian terbabit, bomba menerima panggilan pada jam 11.07 pagi Khamis dan sampai ke lokasi pada jam 11.38 pagi.

"Maklumat diperolehi, mangsa bersama seorang lagi saudara dikatakan terjatuh daripada bot dipercayai terlanggar bongkah kayu.

Artikel Berkaitan:

"Seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dipercayai lemas,"katanya.

Jelasnya, SAR telah dimulakan pada Khamis menggunakan teknik selaman oleh PPDA di kawasan mangsa dipercayai terjatuh selain carian di permukaan dengan kawasan radius pencarian meliputi seluas dua kilometer.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat disambung pada hari kedua pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi selamat selepas terjatuh ke dalam tasik ketika menangkap ikan di Tasik Gubir, pada Rabu.

Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Othman Abdul Ghani, 49, manakala mangsa terselamat, Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28, dibantu nelayan selepas bot dinaiki mereka karam terlanggar bongkah kayu.