Fokus Hamilton tidak terjejas

Hamilton - Foto AP
Hamilton - Foto AP
A
A
A

JUARA dunia tujuh kali Lewis Hamilton mengakui fokusnya tidak terjejas bagi mengharungi saingan Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) British hujung minggu ini, berikutan kenyataan berbaur rasis daripada bekas juara dunia, Nelson Piquet, baru-baru ini.

Menurut pemandu Mercedes itu, dia tetap melakukan persiapaan seperti biasa bagi mengharungi saingan GP di tanah kelahirannya itu hujung minggu ini.

“Saya rasa, saya tidak terganggu dengan kenyataan daripada Piquet kerana apa yang penting adalah untuk saya teruskan perlumbaan ini apatah lagi ia berlangsung di tempat kelahiran saya sendiri.

“Cuma apa yang saya tidak faham adalah mengapa komen-komen seperti ini, terutamanya daripada ‘generasi lama’ sering diperbesar-besarkan? Mereka ini bercakap mengenai sukan kita, namun hala tuju yang disuarakan sama sekali bertentangan dengan apa yang dilakukan ketika ini.

“Secara tidak langsung, isu seperti ini memang tidak membantu perkembangan sukan ini kerana apa yang penting adalah apa perkembangan dan hala tuju sukan ini,” katanya.

Untuk rekod, Piquet membuat kenyataan berbaur rasis menggunakan istilah Portugis bermaksud individu berkulit hitam yang merujuk kepada Hamilton.

Piquet turut memperkatakan mengenai perlumbaan antara Hamilton dan Verstappen yang muncul juara bagi musim 2021 lalu.

Bagaimanapun Piquet dilaporkan sudah pun mengemukakan perkara sebenar dan mendakwa kenyataannya itu telah disalah tafsir oleh pihak media.

Sementara itu Hamilton berkata, mahu melakukan yang terbaik di Litar Silvertsone hujung minggu ini dalam usaha meraih mata dan merapatkan kedudukan dengan pendahulu, Max Verstappen.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencatatkan ‘sesuatu’ pada perlumbaan kali ini dan seterusnya memperbaiki kedudukan saya yang agak ketinggalan ketika ini,” katanya.