Benarkah Rukun Negara sudah mati?

A
A
A
BEBERAPA insiden dan gejala dalam masyarakat masa kini menunjukkan seolah-olah ramai yang tidak lagi menghormati dan memahami roh serta semangat Rukun Negara.

Media sosial digunakan sebagai gelanggang untuk menyebarkan fitnah, menghina, mengutuk dan menjatuhkan maruah seseorang atau organisasi.

Media sosial kini bukan sekadar wadah menyampai maklumat tetapi mencambahkan propaganda jahat dengan berselindung atas nama “kebebasan”.

Adakah ini petunjuk bahawa semangat dan jiwa yang diterapkan dalam prinsip Rukun Negara telah punah? Sejauh mana rakyat Malaysia memahami, menginsafi dan menjadikan Rukun Negara sebagai panduan dalam kehidupan bermasyarakat?

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong IV.

Rukun Negara diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Dalam tempoh berkenaan, banyak kemajuan sosioekonomi telah dicapai.

Pembentukan pembangunan negara bukanlah mudah kerana perlu melalui proses yang panjang, memerlukan komitmen dan kesinambungan serta strategi berterusan.

Kemajuan besar yang dicapai adalah dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi merubah landskap sosiopolitik negara.

Artikel Berkaitan:

Kemudahan ini menjadikan segala urusan harian berada di hujung jari. Namun kemajuan ini mendorong pula mereka yang tidak bertanggungjawab menyebar dan menanam berita-berita palsu yang telah memberi kesan buruk kepada keselamatan serta sosioekonomi negara. Seolah-olah prinsip Rukun Negara yang dipasak sejak alam persekolahan lenyap dan tidak diamalkan lagi oleh segelintir masyarakat.

Prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, harus ada pada setiap warganegara kerana kepercayaan beragama yang positif dapat mewujudkan keharmonian antara agama dan kaum.

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, agama dan kepercayaan lain, namun boleh diamalkan dengan aman dan tenteram.

Tindakan radikal dan ekstrem seperti menghina Nabi Muhammad SAW menerusi komen-komen di media sosial boleh mengundang perbalahan antara agama, seterusnya menggugat keamanan negara.

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Menerusi Rukun Negara kedua: Kesetiaan kepada Raja dan Negara, institusi raja haruslah dihormati kerana ia merupakan lambang dan payung kedaulatan negara.

Namun, perbuatan memperlekeh dan menghina raja turut menjadi satu gejala di media sosial. Sedangkan raja dan rakyat tidak boleh dipisahkan kerana raja umpama pohon dan rakyat itu adalah akarnya.

Maka, wajar untuk rakyat melihat kembali sejarah tentang hubungan antara rakyat dan raja-raja serta peranan yang dimainkan institusi itu.

Prinsip Rukun Negara ketiga: Keluhuran Perlembagaan menekankan kepada rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber perundangan tertinggi negara.

Semua yang terkandung dalam Perlembagaan termasuk soal hak-hak Istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan adalah satu kontrak sosial berasaskan kompromi antara kaum.

Rukun Negara keempat: Kedaulatan Undang-undang memerlukan undang-undang untuk kawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur.

Undang-undang di Malaysia menjamin kehidupan masyarakat bergerak dengan lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan dan merasa selamat.

Manakala Rukun Negara kelima: Kesopanan dan Kesusilaan perlu diamalkan dan disemat dalam diri setiap orang bagi membentuk individu yang berdisiplin serta berakhlak tinggi sekali gus mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

Aktiviti melontarkan kata-kata kesat, memaki-hamun, melakukan buli siber dan menyebar berita palsu hanya melambangkan ketidaktamadunan sesuatu bangsa.

Justeru, jadilah rakyat yang bermaruah dan beretika demi memelihara keharmonian dan perpaduan kaum.

*Penulis ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM