12 peniaga di Perak dikesan jual ayam, telur lebih harga

KPDNHEP Perak menggerakkan 176 penguat kuasa susulan penguatkuasaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan pengapungan harga minyak masak tulen botol di pasaran.
KPDNHEP Perak menggerakkan 176 penguat kuasa susulan penguatkuasaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan pengapungan harga minyak masak tulen botol di pasaran.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengesan 12 peniaga yang menjual ayam dan telur ayam melebihi harga ditetapkan ketika melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh di negeri ini.

Pengarahnya, Saifullizah Kamarul Zaman berkata, kes dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan seramai 176 penguat kuasa KPDNHEP susulan penguatkuasaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan pengapungan harga minyak masak tulen botol di pasaran.

Jelas beliau, kesemua kes menjual melebihi harga maksimum itu berlaku di daerah Manjung, Ipoh dan Taiping melibatkan 11 kes bagi ayam dan satu kes telur ayam.

"Sepanjang Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Februari hingga 30 Jun 2022 di Perak, sebanyak 10,780 premis diperiksa dengan jumlah kes keseluruhan berjumlah 167 kes melibatkan 153 kes tiada tanda harga manakala 12 kes menjual melebihi harga maksimum.

"Nilai sitaan keseluruhan pula membabitkan RM13,073.53 manakala jumlah keseluruhan kompaun yang dihasilkan bernilai RM28,700," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saifullizan berkata, berdasarkan pemeriksaan ke atas bekalan ayam, telur dan minyak masak di seluruh Perak mendapati keadaan stabil dan mencukupi malah tiada sebarang aktiviti sorok barang kawalan dikesan sepanjang pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, bagi memastikan bekalan barang terutama ayam, telur dan minyak masak sentiasa ada, KPDNHEP Perak akan melakukan pemeriksaan di semua peringkat rantaian iaitu di ladang, pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, tindakan itu bagi mengekang peniaga yang tidak beretika daripada mengambil keuntungan secara keterlaluan.

Jelasnya, KPDNHEP Perak juga melaksanakan tindakan kawal selia bekalan ayam, telur dan minyak masak secara harian di setiap peringkat rantaian di bawah Operasi Ayam, Telur dan Minyak Masak (ATM) (Ops ATM) Fasa I mulai 23 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022.

"Ops ATM dilancarkan bertujuan membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi serta mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.

"Hasilnya, sebanyak 238 pemeriksaan premis telah dilakukan dan satu kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen yang sah," katanya.

Sementara itu, Saifullizan berkata, KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua peniaga dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket atau sebarang aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.