Sila log masuk terlebih dahulu.

MAFI usaha selesai masalah benih padi angin

Nik Muhammad Zawawi (kiri) mengadakan lawatan di Pusat Pengeluaran Benih Padi PPK Lahar Bubu di Kepala Batas.
Nik Muhammad Zawawi (kiri) mengadakan lawatan di Pusat Pengeluaran Benih Padi PPK Lahar Bubu di Kepala Batas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang berusaha mencari jalan penyelesaian dalam permasalahan benih padi angin yang dihadapi oleh para petani.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, masalah itu akan dikemukakan dalam mesyuarat bagi mengenal pasti loji-loji yang menghadapi masalah tersebut.

"MAFI mengambil maklum tentang masalah benih padi angin yang dihadapi oleh petani. Isu ini akan dikemukakan dalam mesyuarat untuk kita cuba kenalpasti loji-loji yang dikendalikan oleh agensi kerajaan dan swasta yang mengalami masalah ini.

"Saya bersama menteri akan cuba selesaikan masalah ini semaksimum yang boleh dalam menghasilkan benih padi yang berkualiti. Masalah ini yang kita dimaklumkan berlaku di beberapa lokasi.

"Isu ini penting bagi memastikan negara kita mengeluarkan benih padi yang berkualiti," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, melalui pakar yang sedia ada, MAFI sedang mengkaji jenis padi yang lebih tahan lasak terhadap keadaan cuaca di negara ini.

Menurutnya, ia bagi memastikan bekalan padi mencukupi di seluruh negara.

"Penambaikan langkah-langkah akan diambil oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Padiberas Nasional Berhad (Bernas) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengurangkan kesan kepada bekalan padi ketika musim banjir atau hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita juga akan mengenal pasti varieti-varieti padi yang lebih tahan terhadap perubahan cuaca. Kita sudah bersedia dengan beberapa langkah serta penambahbaikan dalam usaha mengurangkan impak cuaca tidak menentu sekali gus mengelakkan daripada berlakunya krisis makanan pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 1,550 hektar kawasan ladang benih padi di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang terlibat dalam Program Insentif Benih Padi Sah yang dilaksanakan MAFI dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Kata Nik Muhammad Zawawi, seramai 640 peladang terlibat dalam program yang bermula dari 2021 hingga 2023 itu.

Menurutnya, program melalui kementerian itu melantik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu sebagai salah satu pengeluar benih padi sah dengan kuota pembekalan benih padi sebanyak 5,000 metrik tan setahun (250,000 beg).

"Program ini merupakan salah satu daripada program subsidi dan insentif yang diuruskan oleh kementerian bagi membantu golongan sasar dalam sektor padi dan beras.

"Ia juga membantu pesawah padi mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan penggunaan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan risiko padi angin," ujarnya.