Sila log masuk terlebih dahulu.

Mahkamah batal saman terhadap kerajaan isu Batu Puteh

Batu Puteh
Batu Puteh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, membatalkan saman seorang individu terhadap kerajaan Malaysia berhubung isu Batu Puteh.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan berkata, Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Perdana Menteri dan kerajaan untuk membatalkan saman mengenai keputusan menarik balik semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berhubung tuntutan ke atas pulau itu.

Menurutnya, Hayatul Akmal memutuskan bahawa subjek dalam tuntutan saman itu tidak boleh diadili oleh mahkamah.

"Malah, Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat menerusi prosiding sidang video, turut dihadiri peguam Mohaji Selamat yang mewakili plaintif.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei 2020, Mohd Hatta memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hatta turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga defendan-defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.