Buka peluang jana pendapatan

Barisan peserta kursus mutawif kendalian Akademi Mutawif Fadlim di Melaka.
Barisan peserta kursus mutawif kendalian Akademi Mutawif Fadlim di Melaka.
A
A
A

MELAKA - Fadlim Travel & Tours Sdn Bhd berhasrat melahirkan lebih ramai mutawif (pembimbing umrah) profesional bagi membimbing jemaah negara ini sepanjang mereka mengerjakan umrah dan haji di tanah suci Makkah.

Pengarah Urusannya, Abdul Halim Md Salleh berkata, bagi tujuan tersebut Akademi Mutawif Fadlim yang ditubuhkan lebih tiga tahun lalu bersedia melatih individu yang berminat untuk menjadi seorang mutawif berkebolehan serta mempunyai sikap kepimpinan.

Menurutnya, kebanyakan mutawif terdiri daripada kalangan guru agama atau ustaz yang mempunyai pengalaman ketika menunaikan umrah dan haji.

"Peranan mutawif amat penting bagi setiap syarikat yang menawarkan pakej umrah dan haji dan sudah pasti matlamat kami adalah menyediakan perkhidmatan mutawif yang ikhlas bertugas dan komited membantu jemaah sepanjang proses menunaikan ibadah di tanah suci.

"Justeru, perkara yang paling diberi penekanan dalam setiap siri kursus mutawif penerapan nilai kekeluargaan di kalangan mereka dengan hasrat mahu setiap mutawif mampu menyantuni para jemaah bagaikan keluarga mereka sendiri," katanya.

ABDUL HALIM
ABDUL HALIM

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam penganjuran siri kursus mutawif kendalian Akademi Mutawif Fadlim di Ayer Keroh, semalam.

Abdul Halim berkata, setakat ini Akademi Mutawif Fadlim sudah membimbing lebih 2,000 mutawif profesional dan sedang bergiat aktif menabur khidmat di agensi terbabit.

Artikel Berkaitan:

Abdul Halim berkata, pihaknya kini sasar melahirkan lagi sekurang-kurangnya seramai 1,000 lagi mutawif.

"Antara ciri-ciri mutawif profesional yang mahu dilahirkan perlu mempunyai ilmu mengenai umrah dan haji, berkeupayaan bertutur dalam bahasa Arab serta memiliki tahap fizikal yang baik.

"Di Akademi Mutawif Fadlim kami mendapat sokongan padu serta kerjasama daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan barisan pembimbing berkebolehan yang diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji (LTH)," katanya.

Beliau berkata, selain berpeluang melakukan ibadah haji dan umrah berulang kali secara percuma, Fadlim Travel turut membuka ruang untuk barisan mutawif menjana pendapatan menarik menerusi konsep perkongsian keuntungan yang diperkenalkan.

"Secara asasnya setiap mutawif disediakan komisen serta pakej umrah percuma bergantung pada jumlah jemaah yang dibawa masuk.

"Namun, lebih menarik apabila Fadlim Travel turut menawarkan bonus kereta dan rumah kepada mutawif bagi menghargai keikhlasan serta kesetiaan mereka kepada syarikat di samping mahu memastikan setiap mutawif dapat menjalani kehidupan lebih baik," katanya.

Selain di ibu pejabat utama di Padang Serai, Kedah, Fadlim Travel turut mempunyai beberapa cawangan seperti di Tawau, Sabah; Pekan, Pahang; Alor Gajah, Melaka; Manjong, Perak dan Kangar, Perlis.

Bakal mutawif yang mengikuti kursus diadakan, semalam.
Bakal mutawif yang mengikuti kursus diadakan, semalam.