Bahana jenayah anak-beranak

A
A
A

PADA zaman orang Melayu mula berniaga secara berpakat, kita sering tengok papan tanda yang sebut perniagaan anak-beranak, saudara-mara dan rakan-rakan.

Contohnya nama-nama macam Syarikat Anak-beranak Kilang Papan Haji Awang, Syarikat Kilang Beras Haji Ismail Bersaudara dan Syarikat Pengangkutan Bas Ali dan Rakan-rakan.

Hari ini syarikat anak-beranak, adik-beradik dan rakan-rakan ada lagi tapi tidaklah banyak pasal mereka bergaduh satu sama lain dan akhirnya berpecah atau mereka berkembang maju jadi syarikat berhad milik umum.

Tapi pada zaman pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang dibagi gelaran kleptokrasi iaitu kerajaan yang mencuri, timbul balik perniagaan jenis ini.

Bezanya tak macam perniagaan anak-beranak, adik-beradik dan rakan-rakan zaman dulu, perniagaan anak-beranak, adik-beradik dan rakan-rakan zaman Najib tak dibagi nama macam itu. Mereka berniaga senyap-senyap tapi besar-besaran sampai cecah ribuan juta ringgit dalam dan luar negara.

Kewujudan dan kehebatan perniagaan mereka hanya diketahui apabila Barisan Nasional (BN) kalah dan Pakatan Harapan (PH) ambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei lepas.

Hari ini banyak tuan punya perniagaan jenis ini berakhir di muka pengadilan. Ada yang sedang didakwa di mahkamah jenayah dan ada yang berentap sesama sendiri di mahkamah sivil.

Dalam banyak hal, oleh sebab perniagaan jenis ini dapat ilham, restu dan habuan daripada punca kuasa yang sama iaitu Najib maka mereka saling kait-mengait. Justeru, tidak hairanlah apabila Najib jatuh, rahsia syarikat-syarikat ini terbongkar dan perniagaan mereka terhenti.

Artikel Berkaitan:

Yang menyedihkan dan merugikan negara ialah sesetengah daripada syarikat dan perniagaan ini adalah milik kerajaan macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Syarikat-syarikat ini diuruskan seolah-olah milik peribadi Najib atau diserahkan bulat-bulat kepada orang tertentu yang berupa kroni Najib atau yang rapat dengan keluarganya.

Misalnya 1MDB diserahkan kepada Low Teik Jho atau lebih terkenal dengan nama yang diinggeriskan iaitu Jho Low dan Arul Azrul Kanda Kandasamy. Ironinya ialah pengerusi dan sebahagian besar ahli lembaga pengarah 1MDB adalah orang Melayu yang tentunya beragama Islam.

Tak cukup dengan itu, 1MDB juga ada lembaga penasihat antarabangsa yang Najib sendiri jadi pengerusi. Hari ini, semua yang kita patut tahu berkenaan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang libatkan 1MDB dan SRC akan mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rabu ini.

Rakyat jelata tentu amat berharap supaya pihak mahkamah tidak layan lagi kerenah pihak pembelaan untuk lengah-lengahkan perbicaraan. Perbicaraan Najib dalam kes SRC yang libatkan rasuah RM42 juta ini ada kaitan dengan 1MDB pasal pada masa jenayah yang didakwa itu dilakukan, SRC adalah milik penuh 1MDB.

1MDB telah menjadi seakan-akan perniagaan anak-beranak Najib apabila isteri dia, Datin Seri Romah Mansor, dan anak tiri dia, Riza Shahriz Abdul Aziz, turut didakwa. Riza adalah anak Rosmah dengan suami pertamanya. Dia didakwa terima ratusan juta ringgit yang digunakannya untuk biayai penerbitan filem di Hollywood dan beli aset-aset mewah di Amerika.

Riza dan Jho Low dan beberapa orang lagi yang dituduh bersekongkol dengan mereka sedang menghadapi tindakan undang-undang oleh Jabatan Kehakiman Amerika.

Turut naik turun mahkamah ialah bekas Pengerusi Tabung Haji dan orang kesayangan Najib, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim. Walaupun kes dia tidak atau belum babitkan Tabung Haji tapi ia mendedahkan perniagaan adik-beradik dan anak-beranak kerana abangnya, Datuk Abdul Latif, turut didakwa bersama dengannya dan anaknya pernah ditahan kerana disyaki jadi proksi. Abdul Azeez dan abangnya menghadapi tuduhan rasuah RM5.2 juta dan pengubahan duit haram RM139.4 juta hasil kontrak kerajaan.

Kemudian di mahkamah sivil pula kita dihidangkan dengan kes sensasi saman tuntutan harta oleh ibu bekas Menteri Kewangan, Almarhum Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang libatkan saham dalam tiga buah syarikat.

Ibu Jamaluddin, Aminah Abdullah, 85 tahun, saman dua orang cucunya sebab didakwa gagal masukkan saham dalam tiga buah syarikat yang dianggarkan bernilai RM1.3 bilion ke dalam senarai harta peninggalan Almarhum.

Dengan kekayaan luar biasa macam inilah yang menyebabkan rakyat jelata hilang kepercayaan dan akhir tendang keluar kerajaan BN. Kerajaan PH telah menjadikan syarat wajib bagi menteri Kabinet mengisytiharkan harta supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Natijahnya, kalau seseorang itu ada simpan niat buruk apabila memulakan perniagaan atau melakukan apa juga maka adalah tidak wajar dia melibatkan anak, isteri dan saudara mara melainkan mereka pun sama-sama berniat buruk.

Yang saya sebutkan ini hanyalah sebahagian kecil saja daripada berpuluh malah beratus perniagaan anak-beranak, saudara-mara dan kawan-rakan zaman Najib yang sedang dan akan diheret ke mahkamah kerana bermacam-macam kesalahan.

Wallahuaklam.

>* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara