Sila log masuk terlebih dahulu.

Keputusan Rosmah bebas atau sabit kes rasuah 1 September

Rosmah Mansor. - Foto Bernama
Rosmah Mansor. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memutuskan keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion ditetapkan pada 1 September depan.

Selepas pengurusan kes, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, kedua-dua pihak diminta hadir pada Jumaat ke mahkamah melalui surat bertarikh 29 Jun lalu, dengan kehadiran Rosmah dikecualikan.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, jadual asal untuk keputusan ditetapkan pada Ogos, namun pihak-pihak bersetuju jika ia diputuskan pada September ini.

Pada 23 Februari lalu, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi iaitu Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 18 Februari 2021, Rosmah diperintah membela diri atas tiga tuduhan rasuah mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari 2020.

Dalam pada itu, pada 24 Jun lalu, Rosmah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan dan memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak tahun 2018 terbatal dan tidak sah.

Permohonan terbabit akan didengar pada 6 Julai ini.

Sebelum ini, Rosmah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi, namun permohonannya ditolak dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

End