Keputusan rayuan Abdul Azeez ketepi kes mahkamah 26 Ogos

Mahkamah Rayuan pada Jumaat menetapkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengenepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, ditangguhkan ke 26 Ogos depan.
Mahkamah Rayuan pada Jumaat menetapkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengenepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, ditangguhkan ke 26 Ogos depan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat menetapkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengenepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ditangguhkan ke 26 Ogos depan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak perayu dan responden agar keputusan kes itu ditangguhkan.

Hakim Kamarudin berkata, mahkamah menangguhkan keputusan rayuan ini buat kali terakhir.

"Ini kerana kes itu sudah berjalan dalam tempoh lama, keputusan perlu dibuat secepat mungkin,” katanya.

Semasa prosiding, peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Ahli Parlimen Baling itu selaku perayu berkata, representasi terbaharu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Kami menerima maklum balas berkaitan representasi tersebut pada 27 Jun lalu daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Jadi kami mohon masa yang lebih lanjut sebelum keputusan diberi," katanya.

Pihak pendakwaan selaku responden, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad tidak membantah tersebut.

"Kami dimaklumkan terdapat perkembangan terkini membabitkan kes itu dan kami perlukan masa untuk membuat penelitian menyeluruh," katanya.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuh Raya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.