Ibadah korban dibenarkan bermula selepas solat Aidiladha

Datuk Mohd Ajib Ismail
Datuk Mohd Ajib Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibadah korban dibenarkan bermula selepas selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu melibatkan semua masjid dan surau yang berada dalam Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, pihak yang akan melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban perlu mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Petugas korban hendaklah mempunyai tahap kesihatan tubuh badan yang baik, tidak menghidap penyakit kronik dan tidak mempunyai gejala Covid-19 seperti batuk, sakit tekak, selesema dan demam.

"Selain itu, peserta juga perlu memastikan tidak mempunyai kontak rapat individu positif Covid-19 serta tidak berada dalam Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian (Home Surveillance Order)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman pada Rabu mengisytiharkan umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini.

Pengumuman rasmi dibuat selepas sesi pencerapan oleh panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di 29 lokasi di seluruh negara, petang Rabu.