'Jangan sewenangnya turunkan sasaran pingat Birmingham 2022'

Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Mazlan Ahmad
Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Mazlan Ahmad
A
A
A

“BOLEH kaji semula tetapi tidak semestinya sewenang-wenangnya kita menurunkan sasaran pingat emas ditetapkan terhadap kontinjen negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebelum ini."

Itu nada tegas bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad ketika diminta mengulas berkenaan sasaran kontinjen negara di temasya kedua terbesar dunia tersebut yang akan dikaji semula dalam masa terdekat.

Semakan semula Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN itu berikutan insiden penarikan diri pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia diikuti tragedi menimpa bintang skuasy negara S Sivasangari yang terlibat kemalangan baru-baru ini.

“Saya setuju kajian semula terhadap sasaran kutipan pingat kontinjen negara di Sukan Komanwel pada kali ini berikutan dua insiden terkini yang secara tidak langsung menjejaskan sasaran pingat awal sebelum ini.

“Biarpun begitu kajian semula sasaran pingat di Sukan Komanwel kali ini memerlukan kajian terperinci dalam semua aspek sebelum memutuskan sasaran baharu untuk kontinjen negara.

“Sekiranya kita telah memilih pengganti Lee Zii Jia dan Sivasangari, pastikan kita hantar yang terbaik dalam kalangan para pemain yang dipilih menggalas tanggungjawab tersebut.

“Untuk badminton, apa yang saya lihat di Sukan Komanwel ini negara kuasa badminton adalah England dan India. Namun kita kena ingat bahawa Malaysia merupakan antara negara terkuat badminton dalam kalangan negara Komanwel,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Malaysia sebelum ini mempertaruhkan keseluruhan 107 atlet terdiri daripada 69 lelaki dan 38 wanita dalam misi merealisasikan sasaran tujuh pingat tersebut menerusi sukan badminton, selain masing-masing satu daripada gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting.

Pada masa sama Mazlan percaya kem badminton negara masih mampu membawa perkhabaran gembira dari edisi Birmingham 2022 seperti dilakukan pada edisi Gold Coast sebelum ini.

“Jadi adalah satu keperluan untuk kem badminton negara pada Birmingham 2022 kali ini mengekalkan status tersebut dengan membawa pulang kilauan pingat.

“Ya, kita akui pasukan negara sedikit terjejas dengan penarikan diri Lee Zii Jia, namun para pemain lain masih boleh merealisasikan sasaran ditetapkan sebelum ini begitu juga dengan skuasy. Badminton kita memiliki pemain beregu wanita dan beregu campuran yang tidak kurang hebat dalam memberi cabaran.

“Ini juga merupakan peluang untuk para pemain kategori lain untuk menyerlah seterusnya mengharumkan nama negara dalam temasya yang mempunyai prestij tersendiri ini,” katanya yang percaya sukan lain juga seperti angkat berat mampu menghadirkan kilauan pingat emas kepada negara.