Rangkaian Digital Lebuh Raya jadi hab data raya strategik

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya bernilai RM300 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab data raya strategik di rantau ASEAN.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tiga fasa bagi membina dan mengendalikan kabel gentian optik di sepanjang lebuh raya seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tersebut telah diluluskan oleh kerajaan kepada MSA Resources Sdn Bhd (MSAR).

"Infrastruktur telekomunikasi baharu dengan teknologi kependaman di sepanjang lebuh raya utama negara ini akan dapat memberikan capaian yang lancar untuk trafik jalur lebar di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Sebanyak 4,000 titik hubungan (POI) akan menghubungkan bandar dan kawasan luar bandar dengan liputan jalur lebar yang tinggi kelak dengan menyumbang kepada peningkatan penyampaian awam atas talian seperti kemudahan kesihatan, pendidikan dan juga pengangkutan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek itu di sebuah hotel, di sini pada Khamis.

Fadillah berkata, dengan ketersediaan infrastruktur itu ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, sektor ekonomi dan perkhidmatan di negara ini.

Katanya, kemudahan berkenaan itu juga akan membolehkan perniagaan beralih kepada platform digital secara tidak langsung rakyat akan mempunyai pilihan barangan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan harga yang optimum.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSAR, Saiful Husni Samak berkata, projek itu akan dibangunkan melalui tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru, fasa kedua melibatkan lebuh raya dalam bandar di Lembah Klang dan fasa ketiga menghubungkan pantai timur.

"MSAR juga menyediakan sepasang kabel gentian optik kepada LLM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara percuma dan kami turut menyediakan WiFi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) secara percuma juga di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.

Menurut Saiful Husni, projek itu juga akan menyumbang RM12 juta setahun melalui bayaran perkhidmatan kepada kerajaan.

Pada majlis itu, Fadillah turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MSAR dan rakan strategik syarikat itu. - Bernama