Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meningkat semula daripada penurunan semalam untuk ditutup tinggi pada Khamis, menjejaki kenaikan di Bursa Komoditi Dalian, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit, David Ng berkata, bagaimanapun pergerakan naik niaga hadapan MSM telah dihadkan oleh unjuran eksport yang rendah sekali gus akan meningkatkan paras bekalan keseluruhan dalam negara.

"Kami menetapkan paras sokongan pada RM4,700 satu tan dan rintangan pada RM5,200 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan data Intertek Testing Services, eksport pada Jun susut 10.39 peratus kepada 1.27 juta tan daripada 1.42 juta tan yang direkodkan pada Mei 2022.

Sementara itu, penyelidik kargo Amspec Malaysia menjelaskan, eksport pada Jun 2022 susut 13.37 peratus kepada 1.18 juta tan daripada 1.36 juta tan yang dicatatkan bulan lepas.

Pada penutupan dagangan, kontrak niaga hadapan MSM bagi serahan pada Julai 2022 naik RM19 kepada RM5,088 satu tan; Ogos 2022 menambah RM18 kepada RM4,983 satu tan manakala September 2022 menokok RM7 kepada RM4,910 satu tan.

Bagi serahan pada Oktober 2022 pula, ia meningkat RM8 kepada RM4,894 satu tan; November 2022 naik RM11 kepada RM4,903 satu tan dan Disember 2022 melonjak RM16 kepada RM4,923 satu tan.

Jumlah dagangan menambah kepada 53,140 lot daripada 52,249 lot ketika ditutup pada Rabu manakala kepentingan terbuka sebanyak 258,222 kontrak berbanding dengan 259,257 kontrak semalam.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan kekal tidak berubah pada RM5,200 satu tan. - Bernama