Aaron-Wooi Yik mahu kekal rentak kemenangan

Aksi Woi Yik-Aaron ketika menentang Terry-Kean Hean pada perlawanan aksi Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Aksi Woi Yik-Aaron ketika menentang Terry-Kean Hean pada perlawanan aksi Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan momentum positif pada Terbuka Malaysia 2022 apabila menempah slot suku akhir setelah menewaskan pasangan dari Singapura, Terry Hee Yong Kai- Loh Kean Hean di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis.

Pada aksi itu, Aaron-Wooi Yik yang berstatus nombor enam dunia hanya mengambil masa 31 minit mengatasi pasangan ranking ke-50 itu dengan kemenangan 21-16, 21-13.

“Pada perlawanan ini kami beraksi dengan lebih berkeyakinan berbanding aksi sebelum ini, mungkin sebab kami pernah berdepan mereka sebelum ini selain faktor bermain di tempat sendiri.

“Saya harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan apabila berdepan Ahsan dan Hendra pada perlawanan esok,” kata Aaron ketika ditemui selepas perlawanan.

Menanti Aaron-Wooi Yik di suku akhir ialah beregu berpengalaman dari Indonesia yang terkenal dengan julukan 'The Daddies', Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Beregu yang menghuni ranking ketiga dunia sebelum itu mengesahkan kemaraan setelah menumpaskan beregu dari China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong 21-13, 21-10 dalam aksi 60 minit.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong terpaksa akur mengalah dalam aksi 65 minit kepada kehebatan pasangan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi apabila tewas 18-21, 21-17, 14-21.