Sila log masuk terlebih dahulu.

Penolong pegawai JKM nafi siasatan Bella cedera berat sebelah

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penolong pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) pada Khamis menafikan di Mahkamah Sesyen di sini bahawa siasatannya berhubung kecederaan dialami remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella adalah berat sebelah.

Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, juga menafikan beliau gagal menjalankan tugasnya sebagai pegawai pelindung kepada Bella apabila tidak menyiasat mengenai dakwaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bahawa Bella cedera akibat terkena air panas dari pemanas air.

"Pada Julai 2021, saya membuat permohonan untuk membatalkan perintah jagaan tetap yang diberikan kepada Siti Bainun. Dalam tempoh itu juga saya menemu bual Zurianti, Haiza, Suhana dan Shira dan kanak-kanak (Bella) juga telah diselamatkan.

"Keterangan mengenai pemanas air tidak perlu bagi saya sebab kanak-kanak dah diselamatkan dan ditempatkan semula di Taman Sinar Harapan. Siasatan saya lebih menjurus kepada untuk menyelamatkan mangsa dan bukannya mengetahui punca kecederaan," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun.

Saksi pendakwaan ke-12 itu tidak bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam Siti Bainun, Asiah Abd Jalil bahawa beliau membocorkan gambar-gambar yang menunjukkan kecederaan Bella kepada orang awam.

Asiah: Ada 12 keping gambar (kecederaan Bella) tular di media sosial dan adakah kamu tahu ia satu kesalahan di sisi undang-undang jika gambar-gambar berkenaan dibocorkan.

Mohamad Imran: Setuju.

Bagaimanapun, saksi itu tidak mengetahui Siti Bainun membuat laporan polis berhubung gambar yang tular itu kerana bimbang Bella diaibkan.

Artikel Berkaitan:

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 20 Julai ini. - Bernama