Beri alasan ziarah adik elak ditahan

Wanita warga Indonesia ditahan selepas didapati menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen sah ketika Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.
Wanita warga Indonesia ditahan selepas didapati menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen sah ketika Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang wanita warga Indonesia menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen yang sah mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25 di sini pada Khamis.

Wanita berkenaan yang berumur lingkungan 50-an itu memberi alasan mahu menziarahi rumah adiknya di Seksyen 25, Shah Alam.

Selain itu, pemeriksaan dijalankan turut mendapati wanita berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen selain mendakwa permitnya telah tamat tempoh.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Aedy Fadly Ramli berkata, Ops PeWA yang dijalankan pada Khamis menyasarkan pemandu serta penunggang yang terdiri daripada warga asing.

"Fokus operasi adalah di kawasan serta lokasi strategik dan antaranya melibatkan kawasan di Shah Alam ini.

"Pemeriksaan yang dijalankan turut memberi fokus kepada pemeriksaan semua jenis kenderaan dipandu atau ditunggang warga asing, Lesen Kenderaan Motor(LKM) dan lesen memandu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Ops Pemandu Warga Asing di Persiaran Budiman, Seksyen 25 di sini pada Khamis.

Katanya, operasi dijalankan bermula jam 8 pagi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Sebanyak 714 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan 132 notis saman dikeluarkan.

"Selain itu, 22 kenderaan turut disita melibatkan 19 buah motosikal, dua lori dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan turut mendapati kenderaan yang digunakan oleh warga asing kebanyakannya dimiliki warga tempatan.

"Orang ramai diingatkan agar jangan sewenang-wenangnya memberikan kenderaan milik mereka untuk dipandu atau ditunggang warga asing kerana memungkinkan pelbagai faktor dan risiko termasuk kemalangan.

Aedy Fadly (dua, kanan) melihat motosikal yang disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.
Aedy Fadly (dua, kanan) melihat motosikal yang disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.

"Kenderaan ini akan disita dan tindakan mahkamah akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ujar Aedy, berdasarkan pemerhatian yang dijalankan pihaknya mendapati terdapat jumlah yang tinggi melibatkan pemandu dan penunggang warga asing yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Statistik bermula 2019 hingga Mei 2022 mencatatkan seramai 136,448 warga asing telah direkodkan melakukan pelbagai kesalahan termasuk melibatkan tiada lesen memandu dengan sebanyak 143,630 saman dikeluarkan.

"Bagi Selangor pula, seramai 566 warga asing telah direkodkan melakukan pelbagai kesalahan termasuk melibatkan kesalahan tiada lesen memandu dan sebanyak 6,851 notis saman telah dikeluarkan bagi tempoh 2019 hingga 23 Jun tahun ini," katanya.

Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan dijalankan berterusan bagi mengatasi masalah berkaitan penunggang dan pemandu warga asing ini.

"Isu ini merupakan isu yang serius kerana melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Menunggang atau memandu tanpa lesen yang sah bukan sahaja merisikokan diri sendiri malah memberi kesan kepada pengguna jalan raya, dan Ops PeWA ini kita akan sentiasa jalankan dari semasa ke semasa," katanya.

.