Pengurusan Tasik Cermin tidak libat kerajaan negeri

Nolee Ashilin (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan 'letter of intent' antara pihak Kolej TVET Shen Jai dan MAH Chapter Perak pada program Latihan Hospitaliti Negeri Perak di Ipoh.
Nolee Ashilin (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan 'letter of intent' antara pihak Kolej TVET Shen Jai dan MAH Chapter Perak pada program Latihan Hospitaliti Negeri Perak di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak nafi terlibat dalam isu pelantikan syarikat konsesi baharu bagi menguruskan kawasan pelancongan Tasik Cermin di Simpang Pulai di sini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berikutan syarikat sebelum ini tidak memenuhi syarat menjadi konsesi.

"Syarikat itu perlu faham bukan kita hendak menamatkan kontrak tetapi tidak boleh disambung. Syarikat terbabit memang tidak boleh berniaga.

"Semasa diberi kita lihat tiada masalah namun, selepas itu kita mengetahui pemegang saham bersangkut paut telah gulung tikar. Secara teknikal kita tidak boleh beri kepada syarikat yang gulung tikar," katanya kepada pemberita pada program Latihan Hospitaliti Negeri Perak di Kolej TVET Shen Jai di sini pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai pelantikan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Maju Perak oleh MBI dalam menguruskan Tasik Cermin.

Menurut Nolee Ashilin, pihaknya menyarankan MBI dan Maju Perak berbincang mengenai pelaburan yang telah dibuat oleh pihak yang terlibat.

"Perkara itu kita minta pihak MBI dan Maju Perak untuk berbincang sama ada boleh bantu atau tidak terhadap pihak yang sudah melabur.

"Kerajaan negeri tidak boleh masuk campur kerana kontrak syarikat konsesi diberi oleh MBI," katanya.

Pada majlis itu, Nolee Ashilin berkata, program latihan yang akan dilaksanakan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) itu merupakan usaha untuk menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor perhotelan dan pelancongan.

"Bagi fasa pertama, program ini menumpukan kursus 'house keeping' dan pembantu cef yang mana pelaksanaannya melalui konsep latihan dalam pekerjaan di hotel terlibat.

"Peserta akan ditawarkan pekerjaan selepas berakhirnya program di bawah inisiatif ini. Bidang ini merupakan satu prospek kerjaya yang meluas," katanya.

Tambahnya, latihan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Perak dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi.