Bot bawa tiga kru, 10 pemancing dikhuatiri hilang

Bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing bertolak dari Jeti Pengkalan Kubu Kuala Besut dikhuatiri hilang setelah tidak pulang lebih 24 jam. - Foto Maritim Malaysia
Bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing bertolak dari Jeti Pengkalan Kubu Kuala Besut dikhuatiri hilang setelah tidak pulang lebih 24 jam. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing yang sepatutnya pulang pada Rabu dikhuatiri hilang setelah tidak kembali ke daratan lebih 24 jam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot dengan nombor pendaftaran KNF 7040 keluar kira-kira jam 10 pagi dari Jeti Pengkalan Kubu Kuala Besut pada 25 Jun lalu.

Katanya, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 11.45 pagi pada Khamis bagi mengesan bot berkenaan.

"Maritim Malaysia mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan bot pemancing yang sepatutnya pulang semalam (Rabu) tetapi masih tidak pulang dan gagal dihubungi.

"Kapal Maritim (KM) Redang telah digerakkan ke kawasan dipercayai bot tersebut selalu memancing sekitar di sekitar pelantar.

"Sehingga kini masih tiada status bot kerana bot tersebut tiada peralatan komunikasi seperti radio atau Komunikasi Satelit (SATCOM)," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, MRSC Kuantan telah berhubung dengan Pusat Komunikasi Petronas dan Exxon Mobil bagi hebahan mengenai bot tersebut.

"Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dapat menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357," katanya.