Pengilang sawit mogok, MPOB keluar surat peringatan

Tindakan segelintir pengilang yang memberhentikan operasi itu akan mengganggu stok sedia ada dan memberi kesan negatif kepada pekebun. - Gambar hiasan
Tindakan segelintir pengilang yang memberhentikan operasi itu akan mengganggu stok sedia ada dan memberi kesan negatif kepada pekebun. - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Khamis telah mengeluarkan surat peringatan kepada pengilang-pengilang sawit susulan tindakan menghentikan operasi berikutan kejatuhan mendadak harga minyak makan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, surat itu memberi peringatan kepada pengilang agar menjalankan aktiviti sektor pengilangan buah kelapa sawit dan pematuhan kepada keperluan perundangan di bawah Akta Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

Katanya, pengilang yang terlibat juga bakal berdepan dengan penggantungan lesen sekiranya terbukti melakukan perbuatan itu.

"Saya ingin memberi peringatan tegas berkaitan tindakan yang telah diambil oleh pengilang berkenaan sehinggakan menjadikan maksud asal lesen itu dikeluarkan tidak lagi wujud.

"Saya memandang serius akan perkara ini dan meminta supaya aktiviti memproses buah tandan segar (BTS) dan mengilang tidak akan terhenti, sebagaimana yang dinyatakan di dalam lesen yang dikeluarkan bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau berkata tindakan segelintir pengilang yang memberhentikan operasi sekali gus tidak membeli BTS secara tidak langsung mengganggu stok sedia ada dan memberi kesan negatif kepada pekebun kecil. - Bernama