Empat lelaki ditahan cuba sogok polis RM25,000

Empat lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan selepas cuba merasuah seorang pegawai polis untuk melepaskan mereka. Foto PDRM.
Empat lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan selepas cuba merasuah seorang pegawai polis untuk melepaskan mereka. Foto PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki diberkas selepas cuba merasuah seorang pegawai kanan polis sebanyak RM25,000 sebagai ganjaran untuk melepaskan mereka daripada ditahan menerusi Op Kontraban dalam serbuan ke atas sebuah premis sekitar Kepong, di sini pada Rabu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, salah seorang daripada suspek pernah ditahan di lokasi sama 16 Mac lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM736,658.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan hasil risikan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Bukit Aman bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melibatkan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM1.22 juta.

"Dua lelaki tempatan berusia 40 dan 46 tahun telah ditahan ketika menawarkan sogokan berjumlah RM25,000 kepada pegawai kanan polis.

"PDRM turut menahan dua lagi suspek lelaki berusia 26 tahun dan seorang warga Sri Lanka berusia 30 tahun.

"Sejumlah 34,536 tin minuman keras jenis bir, 889 botol minuman keras jenis 'liquor', dua buah kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai berjumlah RM42,157 telah dirampas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, kesemua suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.