Sila log masuk terlebih dahulu.

ASNB agih pendapatan ASB 3 Didik RM300 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM300 juta untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022.

Pembayaran itu bersamaan 4.25 sen seunit kepada 308,197 pemegang unit yang kini memiliki 7.06 bilion unit, kata Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam satu kenyataan pada Khamis.

ASNB merupakan syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.

Menurut PNB, pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 1.89 peratus sebanyak 236 mata asas.

Sehingga 24 Jun 2022, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM412.65 juta, diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Pelaburan antarabangsa masih merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan sebanyak 23 peratus dan kekal melebihi 20 peratus daripada keseluruhan portfolio, kata PNB.

"Walaupun pasaran menghadapi pergolakan dan ancaman inflasi, PNB kekal teguh dalam memajukan kesejahteraan pemegang unit dengan mengagihkan pulangan yang mampan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai, 2022.

Sementara itu, urus niaga ASB 3 Didik telah ditangguhkan buat sementara waktu di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet dari 23 hingga 30 Jun, 2022.

Bagaimanapun, PNB berkata pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Julai, 2022. - Bernama