Sila log masuk terlebih dahulu.

Salur maklumat transaksi mencurigakan

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi kewangan perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat kemasukan wang dalam jumlah yang banyak serta mencurigakan bagi menangani jenayah rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan berbincang dengan institusi terbabit mengenai kaedah terbaik bagi mengesan transaksi hasil tidak sah sejak dari awal, seperti di peringkat perolehan lagi.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan agar sistem kewangan dilaksanakan tanpa melanggar undang-undang bagi tujuan penyaluran maklumat dengan lebih berkesan dan cepat kepada pihak SPRM.

"Kerjasama ini perlu kerana pihak bank adalah yang terawal dapat mengesan sekiranya berlaku transaksi mencurigakan dalam jumlah yang diragui terutamanya oleh pihak yang merupakan individu politik berprofil tinggi,” katanya pada Majlis Makan Tengah hari bersama Institusi-institusi Kewangan bagi Memerangi Jenayah Kewangan di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Marzunisham Omar.

Katanya, kerjasama ini dapat membendung jenayah rasuah yang semakin meningkat terutama melibatkan kes berprofil tinggi dan kepentingan awam.

"Sekarang kerjasama makin meningkat di antara SPRM dengan institusi kewangan apabila sikap keterbukaan mereka untuk memberi kerjasama, nampak lebih baik,” katanya.

Azam Baki berkata, pelaksanaan program pembinaan keupayaan dalam sektor kewangan juga mampu meningkatkan usaha memerangi rasuah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya kerjasama antara SPRM dengan sektor kewangan melalui pertukaran maklumat akan memupuk persefahaman dan berkongsi kepakaran dalam memerangi rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketua Pegawai Eksekutif RHB Berhad Mohd Rashid Mohamad ketika ditemui berkata, kerjasama di antara institusi perbankan dan SPRM diperlukan bagi menangani jenayah kewangan yang semakin berleluasa.

"Sekarang kita lihat transaksi semakin banyak, semua bank sebagai gatekeeper perlu lebih berjaga-jaga dan di sini kita memerlukan satu sistem menangani semua masalah jenayah kewangan di negara ini,” katanya. - Bernama