Polis nafi dakwaan dua anggota terlibat kes orang hilang

K Thiagaraj dilaporkan hilang pada 31 Disember lalu.
K Thiagaraj dilaporkan hilang pada 31 Disember lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menafikan kenyataan pemilik akaun Facebook Sri Boss yang mendakwa dua anggotanya menyembunyikan bapanya yang hilang di Jalan Suria 6, Bandar Seri Alam, Masai di sini pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dakwaan tersebut dibuat anak lelakinya itu yang berusia 19 tahun selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bapanya, K Thiagaraj dikesan hilang.

"Siasatan dijalankan di tempat kejadian dan kawasan sekitar. Rakaman CCTV dari beberapa premis di kawasan sekitar telah diteliti dan diambil bagi semakan serta analisis forensik.

"Keputusan analisis forensik berkaitan CCTV tempat kejadian tidak dapat mengenal pasti individu serta nombor pendafaran kenderaan digunakan individu disyaki orang terakhir berhubung dengan orang yang hilang itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Sohaimi berkata, laporan polis berkenaan kehilangan lelaki itu dibuat ahli keluarganya pada 2 dan 3 Januari lalu sebelum membuat empat lagi laporan antara 5.30 hingga 6 petang pada 28 Januari lalu.

Menerusi laporan polis berkenaan katanya, dua pegawai kanan polis dan tiga lelaki di Klang, Selangor didakwa terbabit dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, dua pegawai kanan berkenaan yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menafikan dakwaan tersebut.

Jelasnya, siasatan terhadap tiga lelaki itu juga mendapati mereka tidak pernah berhubung dengan bapa mangsa yang pernah dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985.

"Siasatan dan tindakan mengesan lelaki yang hilang itu masih dijalankan walaupun sehingga kini tiada laporan penemuannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan lelaki berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mazli Samit di talian 0109598898 atau 011-21775118.

Sementara itu, menerusi perkongsian dalam Facebook anak lelakinya mendakwa, tiada sebarang perkembangan berkaitan lelaki berkenaan dalam tempoh masa tujuh bulan sejak kejadian berlaku.

Anak lelakinya itu yang khuatir keselamatan bapanya juga mendakwa tiada tindakan bersesuaian diambil pihak polis.