Kawalan ditingkatkan elak kekecohan di mahkamah

Mas Ermieyati ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada Khamis. - Foto Bernama
Mas Ermieyati ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak pentadbiran mahkamah akan lebih berhati-hati serta meningkatkan kawalan bagi mengelakkan sebarang kekecohan atau perkara tidak diingini berlaku dalam kawasan terbabit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang,) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun Kompleks Mahkamah sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tetapi konsep budi bicara diamalkan khusus kepada orang awam dan pengamal media supaya tidak membebankan mana-mana pihak.

Beliau berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku di mahkamah termasuk tindakan daripada Orang Kena Tuduh (OKT) dan insiden yang berlaku di Mahkamah Tinggi di Shah Alam itu memberi kesedaran kepada pihak awam dan pengamal media yang ingin membuat liputan.

"Kita sedia maklum insiden yang berlaku baru-baru ini menjadi perhatian banyak pihak dan ia melibatkan isu keselamatan.

"Tindakan dan kawalan daripada pihak mahkamah akan terus diberi perhatian supaya tiada lagi insiden kekecohan atau perkara tidak diingini berlaku di kawasan Kompleks Mahkamah," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini pada Khamis.

Menurut Mas Ermieyati, jika mengikut SOP sedia ada, liputan media hanya dibenarkan setakat pintu masuk ke lokap sahaja sebaik OKT dihantar ke mahkamah oleh polis.

Media melaporkan seorang peguam lelaki mewakili Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan terlibat dalam insiden kekecohan dengan seorang jurufoto sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 21 Jun lepas.

Peguam berusia 50 tahun itu cedera di bahagian kepala manakala jurufoto berkenaan calar di muka sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam. - Bernama