DUN Rantau: Dulu ‘pas’, sekarang ‘Pas’

No Image Caption
A
A
A
BARU hari pertama bagi PRK DUN Rantau, sudah ada ‘drama’ berlaku, seakan isyarat awal memberitahu akan ada lebih banyak drama, kejutan hatta kontroversi mengisi rencah kempen PRK DUN Rantau pada hari mendatang.

Jika dulu dalam PRU14, calon PKR, Dr S Streram tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon kerana tidak membawa pas, hari ini dalam PRK DUN Rantau, lain pula kisahnya namun masih berkisarkan tiga huruf ini, ‘P’, ‘A’ dan ‘S’.

Belajar dari kesilapan, Streram hadir hari ini, membawa pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mendaftarkan namanya dan kemudian diumumkan sebagai calon PKR yang bakal berentap dengan tiga lagi lawan.

Maka, selesailah kisah ‘pas’ beliau.

Hari ini, tiga huruf tersebut masih menjadi tumpuan dan kali ini ia bukanlah ‘pas’ tetapi ‘Pas (Parti Islam Se Malaysia)’, parti politik yang tidak pun bertanding di Rantau namun tetap menjadi mangsa ‘serangan’ pihak tertentu.

Bak kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dalam Facebook beliau: “Hari pertama kempen PRK Rantau. BN vs (lawan) PH. PAS jugak yang kena..” tulis beliau.

Kisahnya bermula apabila calon Bebas dalam PRK DUN Rantau, Mohd Nor Yassin menegaskan beliau masih lagi ahli Pas (seperti dilapor Malaysiakini) namun bertanding atas tiket Bebas dalam PRK tersebut.

Kenyataan itu pantas disangkal Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan:

“Saya telah membuat semakan mengenai Status Keahlian Pas bagi penama Mohd Nor Yassin. Saya dengan ini mengesahkan rekod Pas menunjukkan dia adalah bukan ahli Pas setelah menyertai Amanah pada 10 Mac 2019,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Artikel Berkaitan:


Imbas kembali, Mohd Nor merupakan calon Pas dalam PRU13, bertanding di DUN Gemencheh, Negeri Sembilan namun beliau tewas kepada calon BN, Mohd Isam Mohd Isa dengan beza 3,025 undi.

Dikaitkan dengan Amanah, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir tidak berdiam diri, pantas mengeluarkan kenyataan menegaskan Jawatankuasa Pengurusan Amanah akan mencadangkan pemecatan keahlian Mohd Nor kepada Jawatankuasa Tatatertib Parti.

Menurutnya, ia adalah susulan tindakan bekas pensyarah itu bertanding dalam PRK DUN Rantau meskipun tanpa menerima watikah pelantikan calon daripada parti.

“Sementara menanti keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti, semua ahli dan penyokong Amanah yang bertugas dalam PRK N27 Rantau adalah dengan ini diarahkan hanya membantu kempen calon daripada PH iaitu Dr S Streram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melihatkan kisah di Rantau, baru hari pertama namun sudah dihiasi ‘drama’, pastinya mata akan terus tertumpu ke kawasan itu dalam dua minggu mendatang.

Rantau, jika sebelum ini mungkin agak sunyi, akan ‘bergemerlapan’ setidak-tidaknya sehingga 13 April ini. Pendek kata, dalam dua minggu ini, Rantau yang dulu bukanlah Rantau yang sekarang.

Kepada semua yang bertugas dalam PRK DUN Rantau, tidak kira siapa pun, selamat bertugas dan penulis doakan semuanya berjalan dengan lancar.

Kepada rakan-rakan media di sana, selamat berkarya dan kami di luar Rantau akan sentiasa menantikan berita daripada ‘perantau’ seperti anda.