Polis tidak terima notis himpunan di Kampung Baru

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya tidak menyertai himpunan bantah kenaikan harga barang yang dijadualkan di Kampung Baru, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tiada sebarang notis pemberitahuan diterima daripada penganjur kepada pihaknya berkenaan perhimpunan yang akan diadakan selepas solat Jumaat itu.

Menurutnya, polis telah menerima maklumat berkaitan himpunan itu, namun tiada sebarang pemberitahuan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 diterima dari mana-mana pihak setakat ini.

"Sehubungan itu, kita menasihati mana-mana pihak atau orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan tersebut dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

"Kita akan menempatkan pegawai dan anggota polis di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya pada Khamis.

Isnin lalu, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan yang ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum mendesak kerajaan menangani kenaikan harga barang kepada Kementerian Kewangan (MoF), di Putrajaya memaklumkan merancang satu perhimpunan di ibu negara pada 1 Julai ini bagi mendesak diperuntuk semula subsidi makanan asas rakyat seperti ayam, telur dan minyak masak.

Perhimpunan itu akan diadakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur jika masalah kenaikan harga barang yang berlarutan sejak tiga bulan lalu, masih gagal ditangani kerajaan.