Anggota tentera cedera kejadian tembak di Narathiwat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NARATHIWAT - Seorang pegawai tentera cedera dalam kejadian tembak-menembak di Sungai Padi, Kg Bukit Pula, Narathiwat, selatan Thailand.

Sebelum insiden, dua butir bom juga diletupkan di lokasi yang sama, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Ketua Polis Siasatan Sungai Padi, Kapt. Pol. Thirapong Pimpa berkata sekumpulan individu yang bersembunyi di sebuah kebun getah telah melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pasukan polis dan skuad bom yang berada di tempat kejadian.

“Insiden berbalas tembakan itu berlarutan kira-kira lima minit sebelum kumpulan indvidu itu mengundurkan diri.

“Polis percaya kumpulan itu mendalangi insiden letupan di lokasi sama,” katanya.

Beliau berkata pegawai tentera yang cedera sedang menerima rawatan di hospital.

Sebelum itu, Thirapong berkata sebutir bom meletup di jalan Sungai Padi-Sago, Kg Bukit Pula, apabila empat pegawai tentera yang sedang menaiki sebuah kenderaan lalu kawasan itu pada 10.40 pagi (waktu tempatan).

Katanya, kejadian kedua berlaku pada 12.30 tengah hari (waktu tempatan), kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pertama, ketika skuad bom dan pasukan polis sedang membuat pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua butir bom dipercayai buatan sendiri seberat 20 kilogram,” katanya sambil menambah tiada kehilangan jiwa dilaporkan.- Bernama