Presiden parti politik dalang palsu dokumen pengenalan diri

Hamzah menunjukkan dokumen yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada Khamis.
Hamzah menunjukkan dokumen yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang presiden parti politik di Sabah ditahan kerana dipercayai menjalankan sindiket penipuan kad pengenalan kononnya memberi keistimewaan kepada individu tiada kewarganegaraan dalam satu serbuan di sekitar Subang Jaya, Selangor pada 22 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Mohd Arshad Abdul Mualap, 48, telah ditahan dan dituduh bersama seorang lagi suspek di Mahkamah Shah Alam pada Khamis.

"Mereka menawarkan 'kad maklumat data' kepada mangsa dan mengakui pemegang kad ini boleh mendapat segala kelebihan seperti pendidikan dan perubatan sama seperti warganegara Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada Khamis.

Beliau berkata, sindiket berkenaan mengenakan bayaran bermula RM400 hingga RM1,000 setiap seorang dan siasatan awal mendapati sekitar 400 individu telah menjadi mangsa.

Hamzah berkata, beliau menerima makluman berkaitan sindiket tersebut daripada satu individu warga asing yang menghubunginya.

Kad maklumat data yang kononnya boleh digunakan sebagai kad identiti di Malaysia.
Kad maklumat data yang kononnya boleh digunakan sebagai kad identiti di Malaysia.

"Dia memaklumkan kepada saya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan kami telah panggil unit khas untuk menyiasat yang membawa kepada penangkapan," katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, untuk meyakinkan mangsa, sindiket berkenaan menghantar surat permohonan rasmi kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pihak mangsa.

"Pada kad maklumat data itu turut disertakan kod QR apabila diimbas akan membawa kepada pautan memaparkan surat permohonan itu. Surat itu dihantar kepada KDN tetapi pihak kementerian tidak beri respon kerana surat itu tidak sah.

"Sindiket menggunakan surat itu untuk menguatkan lagi penipuan mereka tetapi KDN tidak sahkan pun," katanya.