Mini KUD bantu usahawan luar bandar kembang perniagaan

Abdul Rahman (dua dari kanan) bertanya sesuatu terhadap peserta yang mengambil bahagian dalam Mini KUD@Lipis yang bermula Khamis sehingga Ahad ini.
Abdul Rahman (dua dari kanan) bertanya sesuatu terhadap peserta yang mengambil bahagian dalam Mini KUD@Lipis yang bermula Khamis sehingga Ahad ini.
A
A
A

LIPIS - Nasib usahawan luar bandar di negara ini terus mendapat perhatian kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang giat menyediakan pelbagai plafform buat mereka.

Terbaharu menerusi penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) bagi memperhebatkan usaha membantu usahawan luar bandar mengembangkan perniagaan mereka.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, program Mini KUD ini antara inisiatif KPLB bagi melahirkan usahawan luar bandar yang lebih cekap mengurus perniagaan menerusi bimbingan dan kursus yang dilaksanakan di bawah kementerian tersebut.

"Selain itu, program ini juga meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar dalam meneroka peluang pasaran baharu lebih besar.

"Ia juga menjadi medium mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian ketika meninjau aktiviti gerai jualan usahawan dan pameran agensi di Mini KUD @ Lipis yang bermula Khamis hingga Ahad ini di Dataran Orang Kaya Haji di sini.

Enam agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felcra Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) terlibat dalam mini karnival tersebut.

Ujar Abdul Rahman lagi, penganjuran mini karnival itu juga turut menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro yang disertai pemenang RBC sekitar negeri Pahang.

“RBC Bistro mencipta peluang akses pasaran yang lebih luas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC," tambahnya.

Sementara itu, beliau berharap penduduk setempat beramai-ramai memeriahkan program Mini KUD@ Lipis sekali gus memberikan sokongan kepada usahawan yang terbabit.

"Program ini juga dimeriahkan lagi dengan penggunaan baucar penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai RM5,000 diberi secara percuma kepada pengunjung untuk memeriahkan jualan usahawan yang menyertai Program Mini KUD@Lipis ini," ujarnya.

Seramai 5,000 pengunjung disasarkan setiap hari dengan nilai jualan tunai lebih RM200,000 sepanjang empat hari selain pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah sebuah motosikal.

Seramai 130 usahawan dari pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan Majlis Daerah Lipis menyertai program ini dari kategori makanan dan minuman, pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan, produk pertanian, penjaja kecil makanan dan minuman serta kendera saji.