Berita tidak benar jejaskan bekalan minyak masak bersubsidi

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Berita tidak benar kononnya subsidi minyak masak satu kilogram akan dihentikan mulai 1 Julai menyebabkan orang ramai membeli minyak masak bersubsidi itu dalam kuantiti yang besar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, tindakan orang ramai itu menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak satu kilogram di pasaran.

"Soal bekalan ini kita sedang buat penelitian secara terperinci... Perkara ini ada dibincangkan tadi dan menteri memberikan jaminan beberapa tindakan akan dilakukan bagi memastikan bekalan cukup.

"Kita ada langkah-langkah tertentu yang dibincangkan tadi yang tidak perlu saya sebutkan di sini tetapi soal ketidakcukupan, kita ada kaedah tertentu untuk perbaiki dalam masa terdekat.

"Pastinya jumlah yang kita subsidikan setiap bulan (iaitu) 60,000 tan metrik sebulan sepatutnya lebih daripada mencukupi kecuali ada perkara tertentu berlaku yang perlu kita uruskan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini pada Khamis.

Annuar dalam pada itu berkata, pihaknya turut mengesan tindakan penjual dalam talian yang membuat jualan semula terhadap minyak masak bersubsidi satu kilogram pada harga RM27 untuk lima peket sedangkan di pasaran hanya RM12.50 bagi lima peket.

"Semalam ada iklan di platform jualan dalam talian yang buat tawaran ini secara terbuka... saya sudah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk ambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan buat tindakan susulan, yang penting tindakan tegas akan diambil bagi sesiapa sahaja yang melanggar akta sedia ada," katanya.

Menurut Annuar, kerajaan berhempas pulas untuk menjaga kebajikan rakyat dan tindakan peniaga sengaja menaikkan harga untuk mencari untung adalah satu kezaliman kepada rakyat.

"Saya seru kepada orang ramai untuk tolong hentikan (sengaja menaikkan harga) ... beri kerjasama dengan kerajaan untuk hentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan merugikan rakyat kita sendiri.

"Kita tahu rakyat susah, tekanan harga barang naik dari segenap penjuru... Kita percaya mulai sekarang saya yakin peniaga mendengar mesej ini dan akan berikan kerjasama untuk pastikan barangan yang disubsidi tidak disalah guna," katanya.

Annuar berkata, mulai Ogos, KPDNHEP akan memperkenalkan label pada paket minyak masak bersubsidi bagi memudahkan penguatkuasaan mengekang aktiviti penyeludupan.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas itu bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ismail Sabri berkata, pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan. - Bernama