KPLB peruntuk RM1.5 juta bangunkan kompetensi pendidik Mara

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan latihan dan pembangunan kompetensi warga pendidik Majlis Amanah Rakyat (Mara) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan profesionalisme 10,485 warga pendidik Mara sentiasa berada di tahap terbaik.

"Mara telah berusaha untuk meningkatkan taraf kemahiran agar para pendidik daripada institusi Mara ini dapat ditingkatkan dan tahap capaian mereka berada pada tahap yang profesional.

"Inisiatif ini diharap dapat memastikan kualiti pendidikan di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) sentiasa relevan dan setanding dengan tahap pendidikan di negara-negara maju," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Pendidik Mara 2022 di sini pada Khamis.

Mahdzir berkata, dalam tempoh 2002 hingga 2020, seramai 4,336 warga pendidik Mara telah ditawarkan peluang melanjutkan pengajian ke pelbagai peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran dan Diploma Pendidikan.

Tambah beliau, Mara juga sentiasa peka dan berusaha bagi memastikan kelancaran dalam penyampaian ilmu kepada pelajar melalui penjagaan serta penaiktarafan kemudahan infrastruktur di pusat pendidikan Mara.

"Hal ini penting kerana dengan inisiatif inilah pembelajaran dalam kalangan pelajar akan menjadi lebih efisien dan sistaematik. Melalui projek naik taraf fizikal, kita dapat memastikan kesemua pelajar IPMA seramai 111,210 orang akan mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif," katanya.

Selain itu, Mahdzir berkata, Mara juga akan meneruskan program penghantaran pelajar ke luar negara seperti yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini.

"Penghantaran tajaan ke luar negara membabitkan pelbagai bidang seramai 1,500 orang setiap tahun termasuk tahun ini," katanya.

Sambutan Hari Pendidik Mara merupakan acara tahunan melibatkan semua pendidik Mara dengan tema pada tahun ini adalah 'Pendidik Tunjang Generasi Berilmu'.

Pada majlis tersebut, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidik Mara (ATPM) kepada bekas Pengarah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, Hambali Ahmad, 64, selain Anugerah Pendidik Cemerlang Mara (APCM) kepada 26 penerima. - Bernama