UMNO Terengganu mahu Zahid terus terajui parti

UMNO Terengganu meminta presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya terus menerajui parti dan tidak tunduk terhadap sebarang desakan meminta beliau berundur. - Foto fail Bernama
UMNO Terengganu meminta presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya terus menerajui parti dan tidak tunduk terhadap sebarang desakan meminta beliau berundur. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu meminta presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya terus menerajui parti dan tidak tunduk terhadap sebarang desakan meminta beliau berundur.

Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, tindakan diambil presiden parti itu terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan daripada menyandang jawatan Ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO dilihat wajar.

"Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dilihat wajar kerana beliau mempunyai kuasa untuk melantik Ahli MKT mengikut perundangan serta mempunyai kuasa mengugurkan ahli yang telah dilantik berdasarkan budi bicara beliau sendiri.

"UMNO Terengganu selari dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dengan tegas mempertahankan kedudukan beliau sebagai presiden parti kerana banyak kejayaan mampu dicapai di bawah kepimpinannya," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook Media Penerangan UMNO - Terengganu pada malam Rabu.

Katanya, semua ahli parti dan penyokong mengiktiraf kejayaan parti di bawah pimpinan Ahmad Zahid antaranya kemenangan dalam tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor disamping kejayaan mengambil alih Perak serta kejayaan rakan Barisan Nasional (BN) iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak yang memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kejayaan paling besar ialah menaikkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

"Justeru beliau (Ahmad Zahid) tidak perlu melayan desakan berundur. Teruskan memimpin parti untuk membawa kejayaan yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti," katanya.

Isnin lalu, Tajuddin mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu mengundur diri secara terhormat.

Beliau yang digugurkan daripada jawatan MKT UMNO pada 21 Jun lalu mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak Ahli MKT sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.