Sila log masuk terlebih dahulu.

'Hanya ingat mati bila terperangkap dalam kebakaran'

Mohammad (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Siti Katijah di tapak rumah mereka yang terbakar di Taman Uda di sini pada Khamis.
Mohammad (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Siti Katijah di tapak rumah mereka yang terbakar di Taman Uda di sini pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pembantu kedai makan hanya fikir kematian setelah terperangkap dalam bilik air kira-kira 30 minit dalam kebakaran di Taman Uda di sini, pada petang Selasa.

Siti Katijah Ishak, 30, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika dia sedang tidur di ruang tamu.

Selain Siti Katijah, seramai 12 ahli keluarganya berada di dalam rumah tersebut iaitu, ibunya, Jamaliah Rejab, 58, adik beradik, anak saudara dan ahli keluarga lain yang sempat menyelamatkan diri menerusi bumbung rumah.

"Bagaimanapun dua adik iaitu Siti Maimunah dan Siti Hajar cedera akibat patah pada paha dan belakang kerana terjatuh dari bumbung manakala anak saudara berusia enam tahun cedera pada mulut," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran pada Khamis selepas menerima sumbangan daripada Bioshock Ventures Sdn Bhd yang diwakili Pegawai Eksekutif, Datuk Mohammad Sheikh Mohammad dan Dr Ali Husain Abdul Kadir.

Menceritakan detik cemas itu, Siti Katijah berkata, adiknya yang menyedari rumah mereka terbakar dan segera mengejutkannya yang sedang tidur.

"Saya terus berlari masuk ke dalam bilik air untuk ambil air bagi memadam kebakaran tetapi tekanan air agak rendah.

"Api marak dengan cepat menyebabkan laluan menghala ke pintu keluar terbakar dan kami semua terperangkap," katanya.

Siti Katijah berkata, semua ahli keluarga bertindak memanjat timbunan pakaian untuk keluar melalui bumbung rumah dan mereka sempat menyelamatkan diri.

Artikel Berkaitan:

"Saya orang terakhir dan tidak sempat keluar kerana api terlalu marak dengan kayu-kayu dari bumbung jatuh menyebabkan saya panik lalu masuk ke dalam bilik air," ujarnya.

Dia sempat menjerit meminta tolong dan cubaan jiran tetangga membantunya menarik keluar dari bilik air tidak berjaya.

"Memang trauma, syukur bomba berjaya menyelamatkan saya menerusi bahagian bumbung bilik air. Waktu itu saya sudah hampir pengsan kerana sesak nafas akibat asap terlalu tebal.

"Namun, saya bersyukur kami semua selamat walaupun hilang tempat tinggal," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioshock Ventures Sdn Bhd, Datuk Mohammad Sheikh Mohammad berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut menerusi bantuan rumah sewa di sekitar kawasan Alor Setar dalam masa terdekat.

"Saya juga akan mencari pekerjaan yang bersesuaian untuk keluarga ini supaya mereka dapat membina semula kehidupan mereka selepas tragedi ini," katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan, pihaknya menyampaikan sumbangan makanan dan sejumlah wang tunai untuk kegunaan segera keluarga terbabit memandangkan ada antara mereka masih mendapatkan rawatan di hospital.