Peniaga bakso didenda RM100,000 kerana beri rasuah

Tertuduh dikawal pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.
Tertuduh dikawal pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang peniaga bakso didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis supaya tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan atas kesalahan jenayah, tahun lalu.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Zaed Asan, 34, selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 24 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan seorang yang masih bebas dengan niat bersama telah secara rasuah memberi suapan wang tunai RM200,000 kepada sorang ejen Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan dalam serbuan oleh polis dari Ibu Pejabat Daerah Nilai pada 13 November 2021 di sebuah di apartment di Residensi Aster Pusat Mesa Putra Nilai atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan.

Perbuatan itu dilakukan pada 14 November 2021, jam lebih kurang 1.20 pagi di dalam kereta jenis Volkswagen Passat di tepi jalan berhampiran stesen minyak di Nilai Square Commercial Center, Nilai.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang lama sekali diperuntukan bagi kesalahan itu atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Peguam, Kamal Adha Mohd Harozi merayu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda memandangkan tertuduh mempunyai seorang isteri dan dua anak berusia setahun serta dua tahun.

"Tertuduh juga perlu membayar ansurans pinjaman kereta sewa rumah dan memberi wang kepada orang tuanya. Tertuduh hanya menurut arahan suspek iaitu rakannya yang masih bebas," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam serta kesalahan serius dilakukan tertuduh.