Batu Puteh: Dua surat dihantar, tiada maklum balas

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pernah mengutus dua surat bagi membangkitkan isu kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut Dr Mahathir, bagaimanapun, kedua-dua surat berkenaan tidak mendapat maklum balas daripada pihak yang terlibat.

Menurut beliau, Mohamed Apandi yang ketika itu merupakan Peguam Negara tidak wajar dilantik sebagai pengerusi pasukan tersebut kerana ia boleh mencetuskan konflik kepentingan, sebaliknya lebih sesuai sebagai saksi.

“Saya sudah beritahu awal-awal, tulis surat tak nak jawab.

Dua surat kita hantar tidak berjawab.

Itu pun saya pergi ke Jabatan Peguam Negara, mungkin saat akhir dia nak jawab.

“Kita boleh tunjuk surat yang kita hantar tetapi mereka tidak jawab.

Macam mana boleh kata salah saya?,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sini, pada malam Rabu.

Dr Mahathir berkata, isu beliau lewat bertindak tidak berbangkit sekaligus menafikan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kalau pada masa itu, mereka beritahu, Mohamed Apandi tak jadi pengerusi, saya sedia bekerjasama.

Hari ini pun, kalau orang yang tidak ada konflik kepentingan dilantik, saya sedia bagi maklumat.

Apa-apa pun boleh tanya saya,” katanya lagi.

Pada Rabu, Wan Junaidi memaklumkan, pelantikan Mohamed Apandi adalah keputusan Jemaah Menteri dan sebarang bantahan berkaitan kedudukan Pengerusi Pasukan Petugas Khas sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.

Menurutnya lagi, keputusan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan sesi temu bual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara, amat mengecewakan selain mengejutkan panel penemubual kerana perkara-perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan bekas Perdana Menteri itu tidak dapat diperoleh.

Sementara itu, Dr Mahathir tidak kisah dilabel sebagai biadab berhubung kenyataannya melibatkan institusi diraja yang didakwa bebas serta mengatasi undang-undang.

“Nak kata saya biadab, biadablah.

Tetapi apa yang saya katakan ini berlaku,” katanya lagi.

Menurut beliau, apa yang disampaikan adalah mengenai perkara sebenar yang berlaku termasuk soal kedaulatan negara.

Pada Selasa, Dr Mahathir menganggap kenyataan yang dilemparkan terhadapnya oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan tuntutan Batu Puteh adalah semata-mata pendapat baginda.

Sebelum ini, beliau mendakwa kenyataannya yang mendesak Johor menuntut semula Riau dan Singapura kerana kedua-dua wilayah itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu, telah dilaporkan di luar konteks.

Jelasnya, beliau hanya merujuk kepada Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor sendiri.