Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Raja-Raja kali ke-259

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-259 di Istana Negara.

Mesyuarat itu yang bermula pada Rabu dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Mesyuarat berkenaan juga dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak diiringi Timbalan Premier.

Mesyuarat kali ini berlangsung selepas yang terakhir diadakan pada 9 dan 10 Mac lepas yang dipengerusikan Sultan Mizan Zainal Abidin. - Bernama