Lokman Adam dikenakan notis tunjuk sebab

Lokman
Lokman
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana menghalang tugas seorang anggota polis dan mendakwa undang-undang negara tidak adil.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Presiden Laskar Siber Malaysia itu hadir ke mahkamah pada Isnin depan bersama peguam untuk memberikan alasan mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah atas dua dakwaan tersebut.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa terdapat seorang lelaki yang berada di galeri dalam prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertindak memarahi anggota polis tersebut.

Raja Rozela berkata, ia berlaku ketika anggota polis yang dikenali sebagai Lans Koperal, Walter menegur ahli politik itu yang lebih dikenali sebagai Lokman Adam supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika prosiding sedang berlangsung.

“Individu itu panggil Lans Koperal, Walter bodoh dan selepas dikenal pasti individu itu ialah Lokman Adam. Ia perbuatan yang kurang ajar dan tidak boleh diterima,” katanya.

Hakim Sequerah kemudian bertanya kepada Lokman Adam yang berada di mahkamah mengapa beliau bertindak sedemikian.

Lokman Adam memberitahu bahawa beliau sedang mencatat perjalanan prosiding membabitkan kes Ahmad Zahid, menggunakan telefon.

Lokman Adam: Rakan saya dibenarkan untuk mencatat menggunakan komputer riba tapi kenapa saya tidak dibenarkan ambil nota guna telefon, ini tidak adil, saya boleh menunjukkan bukti saya menaip.

Sequerah: Tuduhan ke atas kamu ialah menghalang anggota polis. Saya dengan ini mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap kamu. Adakah kamu hendak melantik peguam?

Raja Rozela: Jika keluarkan notis sekarang, kita boleh teruskan prosiding atau rehat seketika, saya harap dapat teruskan sebab tidak mahu dia melarikan diri.

Lokman Adam: Saya berhasrat melantik peguam.

Datuk Ahmad Zaidi Zainal: Mohon izin Yang Arif, boleh saya bercakap selaku ‘amicus curiae’ iaitu sahabat mahkamah supaya Lokman Adam diberi masa dan peluang untuk melantik peguam serta hadir ke mahkamah minggu depan.

Pada 15 Julai 2021, Lokman Adam dipenjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini kepada kerana menghina mahkamah dengan mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas Lokman didapati bersalah atas kesalahan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta merta.

Mahkamah mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan ancaman.