Mahkamah benar Muhammad Shafee dapat sementara pasport untuk ke Itali


Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport buat sementara bagi membolehkannya ke Itali bagi urusan pertukaran sekolah anak perempuannya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport peguam itu yang diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan mulai 8 Julai hingga 11 Ogos selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata, anak guamnya perlu ke Itali untuk urusan proses pertukaran sekolah anak perempuan keduanya yang sedang belajar di International School for Europe di Milan, Itali ke The International School of Kuala Lumpur.

"Beliau juga akan berjumpa dengan anak perempuan sulungnya yang sedang belajar di Universiti John Cabot, Rome, Itali,” katanya.

Menurut notis usul difailkan pada 24 Jun lalu, Muhammad Shafee memohon agar pasport antarabangsanya diserahkan kepadanya buat sementara selewat-lewatnya 1 Julai untuk beliau membuat persiapan berangkat ke Itali dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) pada 8 Julai.

Muhammad Shafee yang merupakan peguam bela utama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

Peguam berusia 70 tahun itu telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept di hadapan Hakim Muhammad Jamil. - Bernama