[VIDEO] 'Rakyat Kelantan tak bising tiada panggung wayang'

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan rakyat negeri ini tidak pernah 'bising' berhubung isu ketiadaan panggung wayang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, ini kerana rakyat beranggapan panggung wayang bukan satu keperluan buat mereka.

"Kita (kerajaan Pas) bincang panjang pasal pawagam masa zaman Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dari sudut baik dan buruk (pro dan kontra) berpandukan kepada suasana serta keperluan.

"Jadi kita buat keputusan untuk tidak membenarkan pawagam (beroperasi di Kelantan) dan itu pendirian kita (kerajaan)," katanya semasa ditemu bual oleh Youtuber, Feng Ren Guan.

Video temu bual berdurasi empat minit dan 21 saat itu tular di aplikasi media sosial sejak Rabu.

Isu pawagam di Kelantan mulai menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warganet selepas Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyaksikan tayangan filem Mat Kilau di ibu kota.

Menurutnya, panggung wayang bukan isu besar untuk rakyat Kelantan sebaliknya ia cuba dipolitikkan oleh sesetengah pihak menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, rakyat masih lagi boleh menonton filem menerusi pelbagai platform yang terdapat di internet.

Mohd Amar berkata, semenjak dunia 'terbuka' banyak panggung wayang di Kuala Lumpur sudah ditutup.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak pernah melarang rakyat untuk menonton wayang.

"Tindakan Pemuda Pas yang hadir ke panggung wayang untuk menunjukkan kita tidak pernah menyekat hiburan. Filem yang baik kita terima asal tidak bercanggah dengan syariah.

"Itu yang kita pegang di Kelantan sebab kerajaan negeri ada enakmen hiburan," katanya.

Sinar Harian pada 27 Jun lalu melaporkan, tindakan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di ibu negara baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga net selain menyifatkan parti itu hipokrit.

Diketahui umum bahawa sebelum ini Pemuda Pas bertegas tidak menyokong pembukaan semula pawagam di Kelantan bagi membendung gejala sosial dari berleluasa di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Pemuda Pas pada Isnin, pentadbir halaman dengan nama 'Zack' dilihat mempertahankan tindakan Ahmad Fadhli dengan memberi beberapa penerangan mengenai adab menonton wayang yang dibenarkan Islam.

"Tengok wayang bukan haram terus. Kalau cerita ditayangkan itu seru kepada kebaikan, ajak orang kenal sejarah, ajak cintakan negara, itu tak haram.

"Kalau cerita ditayangkan itu pelakonnya semua tutup aurat, tengok wayang jaga batas syarak, itu tak haram," menurut kenyataan itu.

Zack turut menjelaskan pendirian Pemuda Pas yang menyatakan panggung wayang tetap dikategorikan haram sekiranya tidak menepati syariat Islam.

"Tengok wayang haram kalau duduk berdua-duaan dengan bukan mahram, sebelah-sebelah, tengok wayang cerita cintan-cintun, ajak kepada kemaksiatan dan tiada nilai pengajaran.

"Tengok wayang sampai lupa solat, masuk waktu solat pun masih di pawagam, itu haram," jelasnya.

@sinarharianonline Gapo gak gege gege ni! #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#PanggungWayang#Kelantan#Pas#Viral original sound - Sinar Harian