Penganggur 'lalok' ditahan lari sekatan jalan raya

Dadah disyaki methamphetamin berjaya ditemukan dalam beg yang disandang suspek ketika ditahan polis di Slim River pada Rabu. - Foto ihsan polis
Dadah disyaki methamphetamin berjaya ditemukan dalam beg yang disandang suspek ketika ditahan polis di Slim River pada Rabu. - Foto ihsan polis
A
A
A

TANJUNG MALIM - Tindakan seorang lelaki mengelakkan diri ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 102 di Taman Bukit Slim, Slim River di sini, mengundang padah apabila diberkas polis pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, penganggur berusia 31 tahun didapati memandu kereta jenis Perodua Viva didapati bertindak agresif apabila cuba menghimpit dan melanggar bahagian hadapan kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pasukan bertindak mengekori suspek bermula dari taman berkenaan sehingga ke Jalan Besar Felda Gunung Besout.

"Pasukan menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux milik PDRM mengarahkan suspek untuk memberhentikan kenderaan sebanyak tiga kali namun dia enggan.

"Suspek memandu sehingga ke Besout telah membuat pusingan U lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan pasukan," katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan menemukan 11 peket serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamin di dalam beg yang disandangnya.

"Nilai pasaran keseluruhan dadah seberat 18.06 gram yang dirampas berjumlah RM1,800. Ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.