Tarif baharu air perlu kerjasama kerajaan negeri: Xavier

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (kanan) mendengar penerangan daripada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Wellesley, Dhaneshvarmman, 12, (tiga, kanan) mengenai alat 'Homemade Biodiesel Processor' ketika membuat lawatan ke ruang pameran Pertandingan 'Science Fair For Young Children Champions League' di Pusat Konvensyen Midlands Seksyen 7 hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelarasan kadar baharu tarif air harus wujud sebagai usaha untuk memastikan bekalan berkenaan akan sentiasa mencukupi pada masa depan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata pada masa ini, kadar baharu tersebut masih lagi dalam proses perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri terlibat dan dijangka dapat ditetapkan dengan persetujuan semua pihak menjelang hujung tahun ini.

Jelas beliau, kerajaan turut memberi jaminan bahawa tarif air baharu berkenaan tidak akan membebankan rakyat sebaliknya ia bagi mengelakkan semua lapisan masyarakat terus terkesan dengan sebarang gangguan bekalan pada masa depan.

“Industri air kena (maju) ke depan. Ada perbelanjaan besar kita perlu buat sebagai jaminan masa depan yang rakyat tidak akan mengalami lagi gangguan bekalan air. Kerajaan memang bersedia untuk berbelanja bagi memastikan bahawa bekalan air akan sentiasa keluar daripada paip 24 jam sehari selama 365 hari.

“Sebab itu kementerian ada kemukakan cadangan kepada kerajaan-kerajaan negeri iaitu dengan cara perbelanjaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan yang kita rancang dalam RMK12 juga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Champions League - Commercialize Your Product’ anjuran Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi (ASTI) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada Isnin lepas yang menyifatkan cadangan pelarasan kadar baharu tarif air oleh kementerian itu terlalu tinggi iaitu meningkat hampir 50 peratus berbanding kadar biasa.

Ditanya mengenai wujudnya tentangan daripada kerajaan-kerajaan negeri dengan cadangan pelarasan kadar baharu tersebut, Xavier berkata ia merupakan perkara biasa namun beliau mengingatkan semua pihak bahawa tarif air tidak dinaikkan sejak 20 tahun lepas.

“Tetapi perbelanjaan kita sekarang ialah mengikut nilai pasaran di mana kita membayar kos infrastruktur seperti yang dinyatakan oleh pasaran, ia akan menyebabkan berlakunya banyak wang untuk dibelanja tetapi kita bersedia untuk melakukannya.

“Tetapi kita perlu mempastikan kerajaan negeri memahami bahawa jika kita membelanjakan wang dalam industri air, kita mahu mempastikan tiada lagi gangguan bekalan air pada masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu mengatakan pelarasan tarif baharu air akan memberi kesan kepada rakyat, Xavier menegaskan ia bukan bertujuan sehingga membebankan masyarakat sebaliknya ia bagi memajukan lagi industri air yang pada masa sama, memperkasakan syarikat konsesi supaya dapat memainkan peranan yang lebih besar pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai musim kering yang melanda sekarang ini, Xavier berkata Kedah merupakan antara negeri yang paling terkesan dan pihaknya dalam langkah berjaga-jaga untuk tindakan lanjut sekiranya hujan masih tidak turun di kawasan tersebut.

Beliau berkata antara perancangan untuk memastikan rakyat Kedah tidak terputus bekalan air adalah penggalian telaga tiub di Merbok dan Selambau sebagai sumber air alternatif dari dalam tanah. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia