Lukaku kembali ke Inter secara pinjaman

Lukaku bergambar bersama Presiden Inter, Steven Zhang selepas melengkapkan perpindahan secara pinjaman dari Chelsea - FOTO: Getty Images
Lukaku bergambar bersama Presiden Inter, Steven Zhang selepas melengkapkan perpindahan secara pinjaman dari Chelsea - FOTO: Getty Images
A
A
A

PENYERANG Chelsea, Romelu Lukaku sah kembali ke pangkuan kelab lamanya, Inter Milan apabila melengkapkan perpindahan secara pinjaman bagi tempoh semusim.

Kepulangan Lukaku diumumkan secara rasmi dalam video yang disiarkan di saluran media sosial Inter sambil penyerang Belgium itu berkata 'saya kembali' semasa bercakap dengan pengerusi Steven Zhang di ibu pejabat kelab berkenaan.

“Kepulangan saya ini benar-benar beremosi. Sudah banyak Inter berikan kepada saya dan saya harap mulai sekarang saya boleh melakukan lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya sebenarnya tidak meninggalkan rumah saya (Inter) apabila berlepas ke England sebelum ini,” katanya

Difahamkan Inter akan membayar lapan juta euro (RM36 juta) kepada Chelsea serta tambahan tiga juta euro (RM13 juta) bonus untuk pinjaman berkenaan.

Malah beberapa media Itali turut melaporkan bahawa Inter dan Chelsea turut bersetuju bahawa pinjaman pemain itu boleh dilanjutkan untuk semusim lagi.

Untuk rekod, Lukaku sebelum ini meninggalkan San Siro ke Chelsea dengan bayaran £98 juta (RM522.98 juta) pada usim panas lalu.

Bagaimanapun pemain berusia 29 tahun itu tidak menemui prestasi terbaik sehingga gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Thomas Tuchel.