Sila log masuk terlebih dahulu.

Harga siling ayam bawah RM10, Aidiladha disambut 10 Julai

Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram. - Gambar hiasan
Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang sambutan Aidiladha kurang dua minggu lagi, akhirnya mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram.

Harga ditetapkan itu adalah bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam satu kenyataan petang Rabu.

Selain harga siling bagi ayam, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji) juga membabitkan Semenanjung.

Harga baharu yang kurang daripada RM10 hingga RM10.50 sekilogram sebagaimana dicadangkan penternak itu boleh dianggap sebagai situasi 'menang-menang' kepada pengguna dan penternak.

Pada Rabu, turut diumumkan umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini.

Pengumuman pengisytiharan itu dibuat Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman pada Rabu.

Sementara itu, satu lagi langkah terbaharu kerajaan turut menjadi perhatian apabila pada Rabu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

Mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas berkenaan berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

Ia bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

"Ia juga akan berfungsi seperti pasukan yang menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dilapor bersedia mengkaji bagi menambah baik had kifayah zakat yang diberikan susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup ketika ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perkara terbabit bagaimanapun perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.