Sila log masuk terlebih dahulu.

Hospital kerajaan tetap yang terbaik

Para petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur sedang memantau keadaan pesakit Covid-19. - Foto Bernama
Para petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur sedang memantau keadaan pesakit Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

BEBERAPA hari lepas, Merak Jalanan bermalam di Hospital Shah Alam menemani anak yang dijangkiti demam viral.

Selalu juga baca komen-komen netizen mengenai perkhidmatan hospital kerajaan.

Ramai yang kata jururawat garang, doktor tidak profesional, bersikap kasar kepada pesakit dan macam-macam lagi.

Tapi pemerhatian Merak Jalanan sepanjang hari itu, langsung tidak seperti digambarkan, bahkan kami melalui momen-momen indah di wad pediatrik kelas ketiga itu.

Walaupun wad penuh dan katil kami terpaksa ditempatkan di dalam kawasan permainan (playground) bersama beberapa pesakit lain, layanan diterima tetap penuh santun, dijaga rapi dan pemerhatian kesihatan dibuat secara konsisten setiap beberapa jam.

Kebetulan ada seorang anak warga asing yang menjadi 'jiran' sebelah katil kami. Waktu Merak Jalanan berborak dengan ibunya, dia juga memuji-muji kakitangan wad kanak-kanak itu.

Setiap kali tiba waktu makan iaitu empat kali sehari, wanita itu angkat ibu jari tanda bagus sambil memberitahu Merak Kayangan: "Di negara saya, hospital tak akan beri makan macam ini."

Sebenarnya ramai tidak tahu yang perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah antara terbaik di dunia.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, negara kita pernah menduduki carta pertama dalam kategori Penjagaan Kesihatan bagi Indeks Persaraan Global Tahunan 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan hebat dunia.

Sewaktu anak Merak Jalanan dibenarkan discaj, kos tinggal di wad selama tiga hari termasuk semua prosedur perubatan ialah RM953.

Tetapi Merak Jalanan terkejut apabila diminta membayar RM17.50 sahaja kerana kerajaan memberikan subsidi.

Sudahlah perkhidmatannya terbaik, harganya pun murah. Masihkah kita tidak mahu bersyukur?