Mungkin ramai akan memandu tanpa lesen

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ISU kenaikan harga barang masih belum kesudahan, namun rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan desas-desus harga baharu bagi mendapatkan lesen memandu.

Berdasarkan tangkap layar yang tular di laman sosial, harga lesen memandu bagi kereta manual dikatakan mencecah sehingga RM1,792 berbanding RM1,300 sebelum ini, manakala bagi transmisi automatik, harga yang dikenakan ialah RM2,004 berbanding RM1,500.

Setelah diselidik, isu kenaikan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu tersebut hanya akan berlaku di Sabah bermula 1 Julai ini.

Bagaimanapun, rakyat di Semenanjung Malaysia tidak boleh berasa lega dengan perkara itu.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), Mat Aris Bakar dalam satu kenyataan mengakui pihaknya kini dalam perancangan untuk mengemukakan cadangan menaikkan harga bagi mereka yang mahu mendapatkan lesen memandu.

Mat Aris berpandangan, cadangan berkenaan wajar dilakukan susulan impak kenaikan harga barangan selain institut memandu juga perlu menanggung kos tinggi dalam menyediakan kemudahan di premis mereka.

Selain itu, penggredan institut memandu bagi memenuhi kriteria dan standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga mempengaruhi keputusan cadangan berkenaan.

Institut memandu terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menaik taraf dan menambah baik perkhidmatan untuk memenuhi penarafan lima bintang.

Alasan lain ialah yuran untuk mendapatkan lesen memandu tidak pernah berubah sejak 10 tahun lalu dan kenaikan harga dilakukan seiring keperluan serta kehendak silibus JPJ pada ketika ini.

Golongan pelajar

Bagaimanapun Mat Aris berkata, kadar kenaikan harga untuk mendapatkan lesen memandu belum diputuskan dan masih dalam perbincangan bersama berapa pihak berkepentingan.

Buat masa ini, harga bagi lesen ialah RM350 bagi motosikal kelas B, RM900 (B penuh), RM1,150 (kereta manual kelas D) dan RM1,250 bagi kereta transmisi automatik.

Kegusaran mengenai desas-desus kenaikan harga itu turut disuarakan orang ramai terutama golongan muda yang masih belum mempunyai lesen memandu.

Rata-rata meminta kerajaan menolak hasrat tersebut tatkala kos sara hidup rakyat meningkat pada masa kini.

Golongan pelajar terutamanya, berharap kajian teliti dapat dilakukan sebelum sesuatu kenaikan harga bagi mendapatkan lesen memandu dilaksanakan kerana kebanyakan mereka masih belum mempunyai pendapatan tetap, atau baru hendak memulakan kerjaya.

Malah, kebanyakan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta turut menggunakan kenderaan sendiri seperti motosikal atau kereta bagi memudahkan pergerakan ke fakulti pengajian masing-masing.

Justeru, kerajaan perlu mengambil kira bantahan tersebut agar tindakan menaikkan kadar bagi mendapatkan lesen memandu tidak akan menghimpit rakyat yang sememangnya sudah tertekan dengan impak kenaikan harga barang.

Bukan apa, kita tidak mahu apabila kos mendapatkan lesen memandu tinggi, pengguna jalan raya terutama anak-anak muda mengambil jalan mudah iaitu memandu tanpa lesen. Masalah lain pun timbul.

Sedangkan lesen memandu kini dilihat satu keperluan, bahkan ia sebagai cara untuk memastikan rakyat Malaysia yang layak memandu diberi kursus dan ujian sebelum dibenarkan memegang lesen tersebut.

Betul apa yang dikeluhkan rakyat ketika ini. Kalau semua harga hendak dinaikkan, sampai bila rakyat boleh bertahan. Sampai bila kerajaan perlu menyalurkan bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada rakyat.

Diharap langkah menaikkan harga tidak kira sama ada barangan keperluan atau perkhidmatan dapat ditangani sebaiknya. Jangan disebabkan mahu memberi keuntungan kepada sebelah pihak, rakyat pula yang menjadi mangsa.

* Diana Azis ialah Wartawan Sinar Harian