TFC, Negeri Sembilan sama kuat di Gong Badak

Pemain TFC, Faisal Abdul Halim cuba mengawal bola semasa menentang Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini. - Foto Bernama
Pemain TFC, Faisal Abdul Halim cuba mengawal bola semasa menentang Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini.

Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang pelawat menerusi percubaan pemain import, Kipre Tchetche pada minit ke-12 yang tersasar tersasar ke sebelah kiri gawang dikawal ketat penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pada minit ke-24, skuad kendalian K Devan memperoleh satu-satunya peluang untuk menjaringkan gol, namun tendangan sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee terlalu tinggi melepasi palang gol.

TFC yang mendominasi permainan terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan dan memperoleh peluang keemasan pada minit ke-36 hasil umpanan cantik Nik Muhammad Sharif Haeefy Mohd Lazim kepada Kpah Sherman, malangnya rembatan Sherman sedikit melencong ke sebelah kanan pintu gol.

Pada minit terakhir babak pertama, Tchetche sekali lagi beroleh peluang untuk mencipta gol pertama buat pasukan tuan rumah tetapi gagal disempurnakan menyebabkan keputusan babak pertama kekal tanpa jaringan oleh kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu yang dibimbing Nafuzi Zain terus menguasai permainan dengan menghasilkan tiga percubaan berbahaya terhadap pertahanan lawan, malangnya peluang terhidang gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Keputusan kekal dengan TFC dan Negeri Sembilan seri tanpa jaringan sehingga akhir perlawanan.

Sebelum itu perlawanan yang bermula pada jam 9 malam terpaksa dihentikan 13 minit kemudian selama 70 minit oleh pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin disebabkan petir dan hujan lebat.- Bernama